Polis akan tingkat kawalan di Istana Yang di-Pertuan Besar

Istana Negeri Sembilan
Ketua Polis Negara Khalid Ismail, berkata kawalan dipertingkat di Istana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menjelang pengumuman keputusan PRN malam ini. (Gambar Wikipedia)

PETALING JAYA: Istana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan antara lokasi akan dipertingkat kawalan keselamatan menjelang keputusan PRN malam ini, kata Ketua Polis Negara Khalid Ismail.

Khalid turut tidak menolak kemungkinan akan ada pihak tertentu yang cuba mencetuskan pergeseran kerana tidak berpuas hati.

“Pasca pilihan raya ini mungkin ada pihak-pihak tertentu yang cuba memusuhi antara satu sama lain sekiranya berlaku perubahan dari segi kepimpinan dan sebagainya atau parti-parti yang menang dan kalah, tidak berpuas hati.

“Ini yang menimbulkan kekuatiran kita. Tapi, pada masa sama polis sentiasa mempertingkatkan penjagaan kita di kawasan-kawasan penting terutama di pejabat kerajaan negeri dan juga Istana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya menurut Sinar Harian, di Seremban.

Khalid mengingatkan semua penyokong parti kekal berdisiplin dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keadaan keselamatan kekal terkawal.

Hantar pegawai ke Kedah jumpa Sanusi

Sementara itu, mengulas perkembangan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, beliau berkata polis sedang mengatur pegawai ke negeri itu bagi mendapatkan keterangan, susulan siasatan melibatkan kenyataan ‘Tanah Melayu’ ketika berkempen sempena PRN Negeri Sembilan.

“Saya tidak mahu mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi kerana perkara ini memerlukan siasatan lanjut serta bukti daripada pihak-pihak berkaitan untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada peguam negara,” katanya.

Author: admin