Ketua hakim negara dahului senarai penerima darjah, pingat Pahang

WAN AHMAD FARID WAN SALLEH - CJ - COURT OF APPEAL
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh dikurniakan darjah kebesaran sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

KUANTAN: Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 52 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang bersempena dengan Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sultan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Wan Ahmad Farid dikurniakan darjah Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (SAAS) yang membawa gelaran Datuk Seri Setia.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada 16 individu, antaranya Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Nor.

Turut menerima SSAP, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar Shahar Abdullah dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Mohammad Fakhruddin Ariff.

Penerima lain SSAP terdiri daripada Panglima Tentera Darat Azhan Md Othman; Ketua Pengarah Kastam Amran Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Mohd Fadzli Kenali; dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Osman Bakar.

Baginda turut mengurniakan SSAP kepada Canselor Universiti Tun Abdul Razak Mohamed Nizam Abdul Razak; Panglima Angkatan Bersama Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Timbalan Panglima Tentera Udara Nur Hafis Abdul Karim.

Turut menerima darjah sama, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Muhammad Tarminzi Mustapha dan penyanyi Sheila Majid.

Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera kepada dua penerima, iaitu Pengerusi Koperasi Serbausaha Makmur Berhad Zamri Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Abu Bakar Yusof.

Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada lapan penerima termasuk Ketua Hakim Syarie Pahang Abdul Walid Abu Hassan, Panglima Wilayah Laut 1 Azman Rabani dan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd Faiza Bawumi Sayed Ahmad.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal pula antara 18 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima DIMP, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bomba Nordin Pauzi, Pengarah Pendidikan Pahang Ahmad Zamri Md Isa dan Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad Pahang Affendi Abdul Rahman.

Selain itu, Pengarah MFDM Holdings Sdn Bhd yang juga atlet ekuestrian Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dan atlet silat negara Mohd Al-Jufferi Jamari turut dikurniakan DIMP.

Pada istiadat itu, baginda turut berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada dua penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada seorang penerima, manakala Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) masing-masing kepada dua penerima.

Author: admin