Timbalan ketua Amanah zahir hasrat tak pertahan Klawang

bakri sawir
Penyandang DUN Klawang, Bakri Sawir menang kerusi tunggal Amanah pada PRN Negeri Sembilan lalu dengan majoriti 577. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Amanah Negeri Sembilan Bakri Sawir tidak berhasrat mempertahankan DUN Klawang memandangkan calon penggantinya sudah dikenal pasti.

Namun, beliau sedia kembali mempertahankan kerusi itu jika ia dikehendaki parti.

“Jika ikutkan saya, saya tidak berhasrat untuk bertanding lagi dan calon bagi kerusi DUN Klawang juga sudah ada.

“Namun, jika pimpinan parti mahu saya bertanding lagi, saya akur dan akan mempertahankan kerusi DUN yang saya menangi sejak dua penggal lalu,” katanya menurut Berita Harian, di Jelebu.

Pada PRN Negeri Sembilan lalu, Amanah mengekalkan kerusi tunggalnya itu DUN apabila Bakri menang majoriti 577, dalam persaingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Danni Rais dan calon bebas, Angah Saiful.

Bakri ketika mengulas lanjut, berkata soal pencalonan diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti dan beliau tidak mahu terlalu memikirkan perkara sedemikian.

“Jika ditakdirkan berlaku pertembungan dengan Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias, kita akan pastikan pertandingan berlangsung secara berhemah. Beliau tetap rakan saya dan bukan menjadi prinsip saya untuk bertanding secara tidak sihat,” katanya merujuk kepada ketua Umno Negeri Sembilan itu.

Bercakap mengenai pembahagian kerusi, Bakri berkata, perkara itu akan diputuskan dalam satu mesyuarat parti yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Beliau berkata, secara umum Amanah berhasrat kembali bertanding di kerusi DUN Lenggeng yang sebelum ini diserahkan kepada Umno.

DUN Lenggeng dimenangi BN menerusi Mohd Asna Amin dengan majoriti 685, menewaskan calon PN, Fadli Che Me, dan calon bebas, Zul Azki Mat Sulop.

Author: admin