
PETALING JAYA: Tiga bekas Adun PAS Perlis yang dihentikan keahlian pada Disember lalu masih menunggu keputusan PAS pusat berhubung permohonan mereka untuk menyertai semula parti itu.
Bekas Adun Chuping Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dikatakan enggan menyertai mana-mana parti lain.
Bercakap kepada FMT, Ridzuan berkata permohonan untuk kembali menjadi ahli PAS sudah dibuat sekitar Januari dan Februari lalu, namun setakat ini belum menerima sebarang jawapan.
“Permohonan sudah dibuat lama, tapi belum ada jawapan lagi. Kami tak berhasrat sertai parti lain, kami istiqamah dengan PAS.
“Dari awal kami maklum kami akan buat permohonan balik menjadi ahli PAS,” katanya yang menyatakan pucuk pimpinan mungkin sedang mempertimbangkannya.
PAS menghentikan keahlian Saad, Fakhrul dan Ridzuan berkuat kuasa serta-merta pada 24 Disember lalu susulan kemelut pertukaran jawatan menteri besar Perlis.
Mereka didakwa bersama lima wakil rakyat Bersatu menandatangani akuan berkanun menarik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.
Tindakan itu menyebabkan PAS hilang pentadbiran menteri besar sebaliknya yang menyaksikan Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah dari Bersatu dilantik ke jawatan terbabit.
Wujud desas-desus usaha membawa usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar pada sidang DUN Perlis baru-baru ini.
Tetapi keadaan itu tidak berlaku yang menurut Abu Bakar menunjukkan keutuhan hubungan kerjasama wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS dan Bersatu.
Menurutnya, ketiadaan usul undi tidak percaya menunjukkan isyarat kerajaan negeri kekal stabil dan tidak mudah digoyahkan oleh spekulasi politik.
