Bangsa Johor jaga semua bangsa, kata Onn Hafiz selepas BN isytihar menang

Onn Hafiz Ghazi
Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Johor selepas gabungan itu isytihar kemenangan pada PRN kali ini.

PETALING JAYA: Kemenangan pada PRN Johor merupakan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk menjaga semua bangsa, tegas pengerusi negeri, Onn Hafiz Ghazi, selepas BN mengisytiharkan kemenangan malam tadi.

Onn Hafiz mewakili BN negeri mengucapkan terima kasih kepada rakyat Johor, dan kepada jentera yang telah bertungkus-lumus.

“Mandat diberikan untuk jaga bangsa Johor. Bangsa Johor kena jaga semua bangsa. Melayu, Cina, India, Orang Asli — kita semua bangsa Johor” katanya pada sidang media.

Onn Hafiz juga berkata kemenangan itu merupakan lembaran baharu bagi Johor.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Musim PRN sudah berakhir. Sekarang tanggungjawab kita adalah untuk membina Johor yang kita dambakan bersama,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi BN Zahid Hamidi mendakwa BN telah memenangi 40 kerusi.

Sesebuah parti atau gabungan perlu memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi bagi menguasai majoriti dalam DUN Johor yang mempunyai keseluruhan 56 kerusi.

Bagi majoriti dua pertiga, sesebuah parti perlu memenangi 39 kerusi.

Author: admin