
PETALING JAYA: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak sekukuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof hari ini, sambil mencadangkan bahawa Malaysia perlu memperkasakan undang-undangnya bagi mendepani cabaran ideologi ekstremisme dan isu sensitif.
Berucap selepas sebuah seminar di Kuching hari ini, beliau berkata, perundangan seharusnya hanya menjadi jalan terakhir dan Malaysia mesti mengimbangi antara usaha menjaga keselamatan negara dan memenuhi piawaian perundangan antarabangsa.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, yang turut berada di Kuching hari ini, berkata beliau berpandangan ISA patut dikembalikan.
Katanya, akta itu antara mekanisme paling berkesan untuk menangani ancaman terhadap keselamatan negara, ajaran sesat dan isu sensitif berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
Beliau berkata, di bawah ISA, pihak berkuasa mampu bertindak, terutamanya apabila sesuatu ideologi atau ajaran didapati bercanggah dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan, tanpa perlu menunggu tindakan daripada jabatan agama Islam negeri.
“Pada pandangan saya – dan ini bukanlah satu cadangan – ISA perlu diwujudkan semula. Ia terbukti berkesan dalam menguruskan ancaman terhadap keselamatan dan keharmonian negara,” katanya, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Fadillah menyeru keluarga, sekolah dan masyarakat agar memainkan peranan yang lebih besar dalam memupuk kesederhanaan.
“Kita perlu membina watak yang baik. Jika rakyat mempunyai nilai dan akhlak yang kukuh, kecenderungan melampau dan radikal boleh dihalang daripada berakar umbi,” katanya menjawab soalan sama ada ISA patut dikembalikan, lapor Dayak Daily.
Pada Mei lepas, Presiden Putra Ibrahim Ali menggesa kerajaan menggubal undang-undang khas menyamai ISA untuk menghukum mana-mana pihak atau individu yang mempersoalkan titah atau menghina institusi diraja.
Katanya, parti itu telah mencadangkan mekanisme perundangan khas di mana mereka yang dituduh menghina institusi diraja boleh ditahan sehingga dua minggu tanpa waran mahkamah untuk tujuan siasatan.
ISA, yang digubal pada zaman kolonial, membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga dua tahun. Undang-undang itu disifatkan sebagai drakonian oleh penyokong hak asasi manusia yang menuduh kerajaan menggunakannya untuk menindas tentangan politik.
Susulan tekanan politik bertahun-tahun, akta itu dimansuhkan pada 2012 dan digantikan dengan Sosma.
