
PETALING JAYA: Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan organisasi media tradisional yang ia berisiko menjadi tidak relevan sekiranya gagal menyesuaikan diri dengan perubahan cara orang ramai mendapatkan dan menggunakan kandungan digital.
Dalam sesi perbincangan panel mengenai penjenamaan dan keusahawanan pada CTOS SME Biz Day 2026, Khairy berkata banyak syarikat media lama yang sudah kukuh dalam industri kini berdepan kesukaran untuk mengikuti rentak pencipta kandungan dan platform digital.
“Media tradisional boleh dikatakan sedang nazak,” katanya.
Berdasarkan pengalamannya menerusi audio siar Keluar Sekejap, Khairy berkata penjenamaan yang kuat mesti dibina atas asas yang kukuh, sambil menegaskan bahawa ‘penjenamaan tanpa produk tidak akan berhasil’.
Beliau turut memberi amaran perniagaan dalam industri yang sentiasa menjadi perhatian umum, seperti media digital serta makanan dan minuman, amat terdedah kepada kecaman orang ramai.
“Satu langkah silap, satu hantaran silap, satu komen silap, satu sambal tak kena, habis,” katanya mengulas kenyataan seorang lagi ahli panel, pengasas Oriental Kopi Calvin Chan, mengenai usaha membina jenama makanan dan minuman.
Khairy berkata beberapa usaha baharu syarikatnya, KS Media, termasuk saluran gaya hidup dan platform pembelajaran bahasa berasaskan kecerdasan buatan (AI), muncul secara tidak dirancang selepas program audio Keluar Sekejap mendapat sambutan.
“Banyak inovasi berlaku secara tidak sengaja. Kita tidak sedar apa yang kita ada sehinggalah kita sudah melakukannya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada profil politiknya memberi kelebihan yang tidak adil, Khairy berkata ia membantu dari segi keterlihatan tetapi tidak menjamin kejayaan.
Katanya, membina perniagaan yang berkait rapat dengan seorang tokoh awam mempunyai cabarannya sendiri, kerana tidak semua orang mempunyai pandangan positif terhadapnya susulan latar belakang politiknya.
“Ada orang suka saya, tetapi ramai juga yang tidak suka saya. Jadi saya perlu memastikan jenama perniagaan ini dilindungi, dan bukan hanya memikirkan jenama diri saya sendiri,” katanya.
Mengulas semakin ramai ahli politik menceburi dunia program audio siar, Khairy berseloroh ruang itu menjadi “tanah perkuburan bagi ahli politik yang gagal”.
Kerajaan kekal fokus kepada PKS
Dalam ucapan pembukaannya, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan kekal komited untuk memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang disifatkannya sebagai tonggak penting ekonomi Malaysia.
Beliau berkata usaha dasar kerajaan tertumpu kepada tiga keutamaan, iaitu memperluas akses kepada pembiayaan, meningkatkan produktiviti dan daya saing melalui penggunaan digital, serta memperkukuh kerangka institusi dan peraturan.
Amir turut menyambut baik pengenalan inisiatif Funding Pavilion oleh CTOS Digital Bhd tahun ini, yang disifatkannya sebagai platform yang dapat membantu menghubungkan PMKS dengan penyedia pembiayaan dan rakan niaga berpotensi.
“Ia menyediakan platform tersusun untuk PMKS berhubung secara langsung dengan pembiaya dan rakan kongsi, sekali gus mengurangkan halangan, melancarkan aliran maklumat dan mempercepat proses membuat keputusan,” katanya.
