
PETALING JAYA: Pemimpin PAS mengingatkan Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz tidak menjadi ‘batu api’ selepas mendakwa ada golongan ulama dalam parti itu tidak bersetuju keputusan menghentikan kerjasama dengan Bersatu.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ahmad Yahya, berkata tiada sebarang kem dalam PAS sama ada kem ulama atau kem teknokrat, sebagaimana didakwa Tun Faisal.
Katanya, setiap keputusan dibuat dipersetujui secara bersama pucuk pimpinan PAS termasuk melibatkan soal kerjasama melibatkan Bersatu.
“Tidak timbul sebagaimana yang didakwa oleh beliau (Tun Faisal). Saya nasihatkan beliau usah menjadi batu api, memecah, dan melaga-lagakan orang. Jaga parti sendiri sudahlah.
“Tidak ada kem-kem dalam PAS. Ia sekadar momokan lapuk yang sengaja dihamburkan terhadap PAS,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Dewan Ulama PAS juga mendukung penuh ketetapan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.
“Bahkan, telah dijelaskan bahawa keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu juga memperakukan pendirian yang dijelaskan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama,” katanya.
Terdahulu, Tun Faisal mendakwa keputusan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada Majlis Syura Ulama.
Katanya, sejak awal lagi pihaknya menerima maklumat mengenai percanggahan pandangan antara kem Majlis Syura atau kem ulama dengan kem teknokrat yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu,Hamzah Zainudin.
Menurutnya, beliau difahamkan kelompok ulama dalam PAS berpandangan hubungan dengan Bersatu tidak wajar diputuskan kerana perbezaan sedia ada dianggap ‘mudarat lebih kecil’, berbanding risiko perpecahan yang boleh menguntungkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Tun Faisal turut menyifatkan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar, yang didakwa ‘menghilangkan diri’ dalam menjawab beberapa isu penting sebagai tidak bertanggungjawab. Katanya, naib presiden PAS itu dilihat gagal menjalankan tanggungjawab sehingga mengakibatkan PN dilihat tidak efisien serta lambat bertindak balas terhadap perkembangan politik semasa.
