
PETALING JAYA: Adun Ayer Lanas Kamarudin Md Nor menyerahkan kepada Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud menentukan kedudukannya sebagai exco susulan keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Kamarudin yang juga ketua Bersatu Kelantan berkata, setakat ini beliau akan menjalankan tugas sebagai exco seperti biasa sehingga ada keputusan baharu dibuat oleh menteri besar dan pucuk pimpinan partinya.
“Soal kedudukan saya (exco) terserah menteri besar sebagai ketua kerajaan dan keputusan pimpinan parti Bersatu,” kata exco pelancongan, kebudayaan, kesenian dan warisan Kelantan kepada FMT.
Kamarudin berkata, sehingga kini semua Adun Bersatu di Kelantan juga kekal menyokong pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Fadzli Hassan, berkata dua wakil Bersatu, Kamarudin dan Adun Kok Lanas, Farid Mohamed Zawawi yang juga timbalan speaker DUN kekal menjalankan tugas seperti biasa.
Fadzli berkata, keputusan diumumkan PAS malam tadi adalah urusan parti dan buat masa ini perlu dibezakan daripada pentadbiran kerajaan negeri.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, ketika dihubungi FMT pula memaklumkan kedudukan Adun Bersatu termasuk jawatan exco di negeri pimpinan parti itu ditentukan kerajaan masing-masing.
Bersatu menggalas tiga jawatan exco di Kedah, serta masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata semua wakil rakyat Bersatu yang menggalas jawatan exco akan dikekalkan selagi mereka menyokong pentadbiran kerajaan negeri.
