
PETALING JAYA: Pemimpin utama PAS Johor tiada masalah untuk memilih ‘Rumah Bangsa’ atau Muafakat Nasional (MN) sebagai platform untuk menyatukan orang Melayu.
Pesuruhjaya Mahfodz Mohamed berkata nama platform tidak begitu penting, berbanding keikhlasan dan kejujuran untuk menyatukan parti-parti Melayu.
“Saya anggap Umno adalah ‘abang besar’ kepada PAS. Malahan PAS mula lahir dari ‘perut Umno’ sendiri. Oleh itu marilah sama-sama kita dukung penyatuan ummah,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas seruan Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, yang menyeru PAS memilih ‘Rumah Bangsa’ sebagai platform untuk menyatukan orang Melayu, ketika menyahut cadangan PAS supaya penyatuan parti-parti Melayu dimulakan di Johor, pada PRN akan datang.
Noor Azleen berkata Pemuda Umno Johor mengalu-alukan niat dan hasrat PAS untuk menyatupadukan orang Melayu, namun berharap ia dilakukan dengan keikhlasan dan bukan bermotifkan politik pilihan raya semata-mata.
Khamis lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan usaha penyatuan parti politik utama Melayu, khususnya PAS dan Umno, dimulakan di Johor bagi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam
Dalam pada itu, Mahfodz berkata PAS akan terus berusaha ke arah penyatuan ummah terutama dengan parti Melayu-Islam seperti Umno dan Bersatu, selain bersama parti bukan Melayu seperti Parti Rakyat India Malaysia serta Gerakan.
Katanya, beliau bersetuju dengan cadangan agar usaha penyatuan dimulakan di Johor dalam menghadapi PRN.
“Ini sesuai dengan bangsa Johor yang terkenal dengan sifat tolak ansur dan hormat-menghormati satu sama lain,” katanya.
