
PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia menolak cadangan Amanah yang ingin berunding bagi menghadapi PRN Johor.
Presiden Syukri Razab berkata Bersama menghormati hasrat pihak-pihak yang ingin meulakan rundingan, namun ia kekal dengan pendirian untuk menyertai PRN secara solo.
Beliau menerangkan keutamaan Bersama sekarang ialah membuka lebih banyak pilihan kepada pengundi, setelah mereka menilai sendiri prestasi parti-parti dan gabungan politik yang terbentuk pasca pilihan raya lalu.
Bercakap kepada FMT, Syukri berkata Bersama khuatir sebarang perbincangan atau persefahaman yang cuba diusahakan sesetengah pihak akan “mengulangi kompromi lama yang kesannya telah diukur sendiri oleh pengundi hari ini”.
Beliau bagaimanapun tidak menerangkan ‘kompromi lama’ yang disebut itu.
“Bersama kekal dengan pendirian untuk turut serta dalam PRN Johor secara solo dan menaruh keyakinan penuh pada kebijaksanaan pengundi untuk membuat pilihan,” katanya.
Bersama diambil alih oleh bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, bulan lalu. Mereka menyatakan minggu ini bahawa parti itu akan bertanding dalam PRN Johor.
Terdahulu, Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata parti itu bercadang berunding dengan Bersama bagi memastikan tiada pertembungan kerusi antara Bersama dengan parti komponen Pakatan Harapan.
Faiz berkata inisiatif itu ‘direstui’ pucuk pimpinan Amanah.
