Doktor rugi RM558,000 angkara pelaburan mata wang

Scammer-Hacker
Polis berkata mangsa yang tidak menerima sebarang pulangan pelaburan, dikehendaki membayar ganti rugi bagi mengelakkan tindakan mahkamah kerana didakwa melakukan kesalahan, menyebabkan dia sedar ditipu.

DUNGUN: Seorang doktor wanita sebuah klinik swasta di sini kerugian RM558,000 akibat terperdaya tawaran pelaburan mata wang dalam talian, awal tahun ini.

Ketua Polis Dungun, Nik Ab Halim Nik Mat, berkata mangsa berusia 32 tahun berhubung dengan suspek menerusi Instagram selepas melihat iklan pembelajaran perdagangan dan pelaburan, sebelum berurusan dengan seorang lagi suspek dikenali “Wan” melalui WhatsApp.

“Mangsa diminta membayar RM300 untuk mendapatkan video berkaitan teknik perdagangan sebelum membuat 77 transaksi ke enam akaun dari 12 Jan hingga 11 Ogos berjumlah RM558,000,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang tidak menerima sebarang pulangan pelaburan juga dikehendaki membayar ganti rugi bagi mengelakkan tindakan mahkamah kerana didakwa melakukan kesalahan, menyebabkan dia sedar ditipu dan membuat laporan polis.

Di Kuala Terengganu, seorang pesara kerajaan berusia 60 tahun kerugian RM92,781 akibat diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud dalam talian, selepas membuat permohonan pinjaman RM10,000 pada Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata lelaki itu melihat tawaran pinjaman berkenaan di Facebook dan berminat meminjam bagi kegunaan peribadi kerana menawarkan kadar faedah rendah dan syarat pinjaman menarik.

“Mangsa menghubungi suspek melalui WhatsApp dan diminta membayar kos pengurusan. Lelaki itu membuat 86 bayaran ke 28 akaun menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan dari 14 Jun hingga 13 Ogos lalu.

“Mangsa juga dipaksa menyerahkan butiran peribadi, termasuk salinan kad pengenalan, bil utiliti, kad pencen dan akaun bank atas alasan untuk simpanan rekod,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, suspek turut mengugut akan mengambil tindakan mahkamah jika mangsa tidak membuat bayaran tambahan.

Mangsa membuat laporan polis pada 3.39 petang semalam.

Dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Author: admin