Umum tubuh gabungan baharu, Hadi dakwa Bersatu automatik terkeluar PN

abdul hadi awang
Hadi Awang berkata tindakan menyertai atau menubuhkan blok politik lain secara sendirinya menghentikan keahlian sesebuah parti dalam PN.

PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang mendakwa rakan komponennya Bersatu secara automatik terkeluar daripada Perikatan Nasional (PN) tanpa memerlukan surat rasmi mahupun keputusan jawatankuasa memandangkan parti itu mengumumkan pembentukan gabungan baharu.

Hadi berkata, tindakan menyertai atau menubuhkan blok politik lain secara sendirinya menghentikan keahlian sesebuah parti dalam gabungan itu mengikut prinsip Perlembagaan PN.

“Dia sudah membuat kenyataan nak tubuh satu gabungan lain. Dengan sendiri, automatik dia keluar.

“Tak payah rasmilah. Menurut perlembagaan, bila kita pergi ke lain, habislah. Itu saja,” katanya selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, Marang.

Sebelum ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan perancangan untuk gabungan baharu dengan parti lain selepas PRN Negeri Sembilan.

Memberi bayangan Bersatu bakal keluar PN, Muhyiddin berkata antara yang akan menyertai gabungan baharu itu adalah parti bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) termasuk Putra pimpinan Ibrahim Ali dan Urimai diketuai P Ramasamy.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata gabungan baharu tersebut akan berdepan PRU akan datang.

Ketika ini, Bersatu kekal komponen PN bersama PAS, Gerakan, dan MIPP. Namun, Bersatu dan PAS tidak lagi sehaluan, dengan Muhyiddin menggambarkan gabungan itu kini toksik selepas diketuai PAS.

Dalam perkembangan lain, Hadi menyatakan rasa puas hati dengan agihan jawatan diperuntukkan kepada gabungan itu di Negeri Sembilan.

“Ya, kita berpuas hati. Kita diberi dua jawatan exco dan satu jawatan timbalan speaker,” katanya.

Author: admin