1,260 juruterbang Malaysia Airlines wajib jalani saringan dadah

klia2
Malaysia Aviation Group berkata juruterbang Malaysia Airlines yang tidak menjalani saringan itu menjelang 15 Ogos ini akan digantung tugas sehingga mereka berbuat demikian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) mengarahkan semua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines menjalani ujian saringan dadah susulan penahanan seorang kakitangannya di Indonesia atas dakwaan cuba menyeludup dadah.

Menurutnya, saringan yang bermula serta-merta itu dijangka selesai menjelang 15 Ogos ini dan juruterbang gagal menjalani ujian itu dalam tempoh ditetapkan tidak dibenarkan mengendalikan pesawat sehingga mereka disahkan bebas daripada sebarang isu berkaitan.

Syarikat induk penerbangan nasional itu berkata, ujian saringan mandatori akan diperkenalkan kepada semua juruterbang aktif sebagai tambahan kepada program ujian rawak sedia ada, sebelum langkah itu diperluaskan kepada kru kabin.

Seorang juruterbang Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta minggu lalu, bersama dadah termasuk 25kg ekstasi bernilai lebih RM13 juta yang didakwa disembunyikan dalam bagasinya.

MAG mengesahkan juruterbang itu ialah pegawai kedua yang berada di tempat duduk pemerhati kokpit, bukannya sebahagian kru penerbangan yang mengendalikan pesawat.

Jelasnya, individu itu tidak bertugas selama dua hari sebelum ditahan dan pesawat terbabit dikendalikan dengan selamat oleh dua juruterbang bertauliah.

“Tindakan individu itu tidak boleh diterima sama sekali dan bertentangan piawaian profesional dijangkakan daripada kakitangan.”

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nasaruddin A Bakar, berkata keselamatan operasi dan tahap kesiapsiagaan kru untuk bertugas tidak boleh dikompromi.

“Walaupun insiden terpencil ini tidak mencerminkan profesionalisme majoriti pekerja kami, kami akan terus memperkukuhk perlindungan untuk mengekalkan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Author: admin