
PETALING JAYA: U Mobile secara rasmi melancarkan hab Enterprise Innovation Platform (EIP) bagi membantu syarikat membangunkan, menguji dan mempamerkan penyelesaian berasaskan 5G-Advanced (5G-A) serta kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck berkata hab itu akan menghimpunkan syarikat, penyedia teknologi, institusi akademik, penasihat dan agensi sektor awam.
Menurutnya, kerjasama itu bertujuan mengurangkan risiko ketika melaksanakan teknologi baharu, mempercepat penggunaannya dan membantu syarikat mencapai hasil perniagaan dengan lebih pantas.
“Kami mahu menyediakan persekitaran yang membolehkan organisasi meneroka teknologi baharu dengan yakin, membangunkan penyelesaian praktikal dan memperluas inovasi yang mampu memberikan hasil perniagaan yang boleh diukur.

“Ketika penggunaan teknologi digital semakin pesat dalam semua sektor, kerjasama antara kerajaan, industri, institusi akademik dan rakan teknologi menjadi semakin penting,” katanya pada majlis pelancaran hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Pada pelancaran itu, hab EIP mempamerkan beberapa teknologi yang telah digunakan oleh U Mobile bagi menunjukkan aplikasi praktikal 5G-A dan AI untuk sektor perusahaan.
Antaranya termasuk teknologi analitik visual berasaskan 5G dan AI bagi memantau operasi secara masa nyata, serta penggunaan dron dengan rangkaian 5G untuk rondaan dan pengumpulan data dalam pemeriksaan dan pemantauan secara automatik.
Fahmi turut menyentuh kemajuan Malaysia dalam pembangunan infrastruktur dan ekonomi digital, sambil menyatakan bahawa hab EIP dapat membantu menggalakkan inovasi serta menarik pelaburan.
“Hab ini inisiatif yang diterajui industri dan melengkapi usaha kerajaan untuk mempercepat transformasi digital dalam sektor perusahaan.
“Ia menghimpunkan syarikat, penyedia teknologi, pencipta inovasi, institusi akademik dan sektor awam dalam satu ekosistem kerjasama,” katanya.
Fahmi menambah, ekosistem itu akan mempercepat penggunaan aplikasi berasaskan 5G dan AI yang dapat meningkatkan produktiviti, mengukuhkan daya saing serta membuka sumber pertumbuhan ekonomi baharu.
“Inilah bentuk kerjasama antara sektor awam dan swasta yang diperlukan Malaysia dalam usaha membina ekonomi digital yang lebih kukuh,” katanya.
