
PUTRAJAYA: Pengendali platform media sosial diberi tempoh untuk menyelaraskan mekanisme dalaman masing-masing bagi memastikan tindakan menurunkan kandungan berisiko membabitkan penipuan dan judi dalam talian dilaksana secara automatik.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pengendali platform berkenaan menyatakan kesediaan untuk mematuhi keperluan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
“Melalui ONSA, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerbitkan apa disebut sebagai CPC dan RMC. Dua kod ini akan diguna pakai untuk pastikan platform-platform mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dalam talian termasuk mengenai kandungan scam dan judi dalam talian.
“Kita beri platform ini sedikit masa. Mereka menyatakan kesediaan untuk mematuhi tetapi mereka memerlukan sedikit masa untuk penyelarasan mekanisme dalaman untuk menjadikan proses secara automatik untuk menurunkan kandungan yang dikenal pasti ini,” katanya pada sidang media mingguan.
Fahmi berkata keperluan menurunkan kandungan berbahaya secara automatik penting susulan permohonan penurunan kandungan dibuat SKMM khususnya membabitkan judi dalam talian dan scam, melebihi jumlah pada tahun lepas.
“Memang tidak boleh dinafikan jumlah permohonan untuk penurunan yang dibuat oleh pihak SKMM kepada platform khusus berkenaan kandungan judi dalam talian dan juga scam melebihi apa yang dimohon pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata peningkatan jumlah permohonan itu turut memberi implikasi dari segi penggunaan sumber dan masa petugas SKMM kerana setiap permohonan penurunan kandungan mengambil kira-kira 30 minit untuk diselesaikan.
“Maka jumlah masa diperlukan untuk jumlah permohonan yang begitu banyak sudah pasti mengakibatkan petugas SKMM membazir banyak masa untuk memfailkan semua dokumen diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mempergiatkan libat urus dengan pengendali media sosial bagi menangani penyebaran kandungan berkaitan tingkah laku bunuh diri di negara ini.
Beliau berkata Jemaah Menteri turut mengambil maklum mengenai sidang meja bulat anjuran Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dengan kerjasama NCEMH berkaitan peranan media dalam pencegahan tingkah laku bunuh diri.
“Perbincangan meja bulat tersebut telah memberi tumpuan kepada amalan pelaporan yang beretika, penyampaian maklumat bertanggungjawab, serta kerjasama lebih erat dalam kalangan pelbagai pihak dalam usaha mencegah tingkah laku bunuh diri.
“Pada masa sama, Jemaah Menteri juga mengambil maklum bahawa pihak NCEMH di bawah KKM serta CMCF perlu mengadakan libat urus lebih rapi dan mendalam bersama platform-platform media sosial,” katanya.
