Muda bidas sikap ‘ego’ pembangkang selepas perpecahan PN, pakatan BN

MUDA-AMIRA AISYA-
Biro Politik Muda berkata parti pembangkang perlu melihat melangkaui kepentingan masing-masing berbanding cuba menonjolkan diri sebagai parti dominan dalam blok itu.

PETALING JAYA: Muda menggesa parti pembangkang mengetepikan ego mereka dan bersatu sebagai semak dan imbang berkesan terhadap kerajaan, sambil mengkritik perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN) serta pakatannya dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Negeri Sembilan.

Biro Politik Muda berkata, pakatan PN dengan BN, komponen penting dalam kerajaan persekutuan, menyebabkan rakyat sukar membezakan parti mana berada dalam kerajaan dan siapa sebenarnya pembangkang.

Jelasnya, pembangkang semakin hilang arah apabila PAS yang mengetuai PN, berpecah dengan Bersatu.

“PAS pula menyokong BN dalam PRN Johor dan bekerjasama dengan BN di Negeri Sembilan, sedangkan PAS masih mahu dilihat sebagai sebahagian daripada pembangkang di peringkat persekutuan.

“Dalam keadaan ini, rakyat berhak bertanya satu soalan yang sangat mudah: siapa sebenarnya pembangkang?” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pembangkang perlu melakukan lebih daripada sekadar duduk bertentangan dengan blok kerajaan di Dewan Rakyat, sebaliknya perlu memastikan Putrajaya disemak, menawarkan dasar lebih baik dan menunjukkan kepada pengundi ia bersedia untuk mentadbir.

Tegasnya, parti pembangkang perlu melihat melangkaui kepentingan masing-masing dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam pilihan raya, bukannya berlumba siapa paling kuat dalam blok itu.

“Hakikatnya, tiada satu pun parti pembangkang hari ini cukup kuat untuk bergerak sendirian dan menggantikan kerajaan.

“Jika parti-parti pembangkang terus memilih ego berbanding kesatuan, kerajaan tidak perlu terlalu kuat untuk terus berkuasa. Mereka hanya memerlukan pembangkang untuk terus berpecah.

“Oleh itu, ketepikan ego. Hentikan perebutan siapa paling dominan. Duduk semeja, satukan mesej dan gabungkan kekuatan untuk membina pembangkang yang benar-benar berkesan.”

Parti progresif digesa bersatu

Muda menyeru parti yang menyokong dasar progresif dan “serius mahu menjadi pembangkang berkesan” memulakan perbincangan membina blok pembangkang yang tersusun dan berkesan.

Tegasnya, mereka tidak perlu melepaskan identiti sendiri atau bersetuju dalam semua perkara, sebaliknya perlu bekerjasama dalam isu berkepentingan bersama.

“Kesatuan bermaksud kita bersedia mencari titik persamaan dalam perkara asas seperti reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, kos sara hidup, hak pekerja, perubahan iklim dan perlindungan terhadap hak semua rakyat Malaysia.

“Malaysia memerlukan politik progresif berasaskan dasar, penyelesaian dan keberanian untuk membina masa depan. Negara ini tidak boleh terus terperangkap dalam politik sentimen, ketakutan, nostalgia, perkauman dan permainan emosi yang hanya digunakan untuk meraih undi.”

Author: admin