Anwar jemput cucu Mahatma Gandhi ke Malaysia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dengan cucu Mahatma Gandhi, Rajmohan Gandhi. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjemput cucu tokoh kemerdekaan India Mahatma Gandhi, Rajmohan Gandhi, melawat Malaysia pada suku pertama tahun depan.

Anwar menerusi hantaran di Facebook, berkata jemputan itu dibuat menerusi satu perbualan telefon baru-baru ini.

“Saya menjemput beliau berkunjung ke Malaysia pada suku pertama tahun hadapan untuk menyampaikan syarahan dan berkongsi pandangan mengenai demokrasi, keamanan, keharmonian serta kepimpinan berteraskan nilai bersama para ilmuwan, mahasiswa, dan pemimpin masyarakat,” katanya.

Anwar turut mengimbau kembali pertemuan mereka semasa persidangan mengenai demokrasi di Asia dianjurkan Rajmohan di Mumbai, pada 2012.

“Kami bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan sejarah dan ketamadunan Malaysia-India melalui kerjasama akademik, intelektual serta dialog antara tamadun.

“Semoga hubungan persahabatan yang telah lama terjalin ini terus diperkukuh,” katanya lagi.

Author: admin