Pengundi muda N Sembilan cenderung pilih parti banding calon, kata Ilham Centre

young voter undi
Ilham Centre berkata purata komposisi pengundi muda di Negeri Sembilan berada pada sekitar 48% dengan 15 DUN mempunyai komposisi melebihi 50%.

PETALING JAYA: Hampir separuh daripada keseluruhan daftar pemilih Negeri Sembilan terdiri daripada pengundi muda yang cenderung memilih parti politik bukannya calon yang bertanding, kata Ilham Centre.

Badan pemikir itu berkata purata komposisi pengundi muda di negeri itu berada pada sekitar 48% dengan 15 DUN mempunyai komposisi melebihi 50%.

Lima kawasan yang mempunyai peratusan pengundi muda tertinggi adalah Bagan Pinang (60%), Paroi (59%), Gemas (58%), Serting (58%) dan Labu (55%).

“Ini bermakna hampir setiap keputusan pilihan raya kini dipengaruhi secara langsung oleh kecenderungan generasi baharu,” katanya dalam kenyataan.

Ilham Centre berkata dapatan menunjukkan pengundi kali pertama membuat keputusan di peti undi lebih awal sebelum hari pengundian, walaupun sebahagian besar daripada mereka mengakui tidak mengenali calon yang bertanding.

“Penentuan sikap mereka tidak lagi bertunjangkan personaliti calon, sebaliknya semakin dipandu oleh jenama parti serta naratif besar yang berlegar di ruang media sosial.

“Dalam banyak keadaan, sentimen Melayu-Islam yang dipacu secara konsisten di platform ini menjadi kerangka utama pembentukan pilihan politik mereka,” katanya.

Menurutnya, perubahan ini menandakan peralihan ketara berbanding beberapa siri pilihan raya sebelum ini, apabila faktor prestasi, rekod khidmat dan keterlihatan calon masih menjadi pertimbangan utama pengundi

“Kini, hubungan langsung antara pengundi dan calon semakin mengecil, digantikan oleh persepsi terhadap parti sebagai entiti politik yang lebih dominan,” katanya.

Isu golongan muda dipinggirkan

Ilham Centre juga mendakwa golongan muda adalah kelompok yang paling kurang diberikan perhatian substantif sepanjang kempen.

Menurutnya, isu-isu yang dekat dengan kehidupan golongan muda seperti pekerjaan, kos memiliki rumah, peluang ekonomi, pendidikan, latihan kemahiran serta prospek masa depan tidak muncul sebagai agenda utama mana-mana parti secara konsisten.

“Naratif kempen lebih banyak berkisar pada pertarungan politik makro berbanding penyelesaian masalah generasi muda secara spesifik.

“Lebih membimbangkan, sayap pemuda parti, calon muda, serta pemimpin yang diberi tanggungjawab terhadap pembangunan belia gagal mengangkat wacana yang benar-benar mencerminkan realiti generasi ini

“Ketiadaan naratif yang segar dan meyakinkan menyebabkan ruang perbincangan politik anak muda menjadi hambar dan tidak berakar pada isu kehidupan sebenar mereka,” katanya.

Katanya, kekosongan ini akhirnya diisi oleh politik identiti yang berkembang tanpa cabaran bermakna.

“Dalam ketiadaan wacana alternatif yang progresif dan berasaskan dasar, sebahagian besar pengundi muda membentuk orientasi politik mereka melalui lensa identiti, agama dan kaum yang lebih dominan berbanding perbahasan mengenai masa depan ekonomi atau mobiliti sosial,” katanya.

Author: admin