Filem Terbang angkat kisah Karamjit Singh, tayang sempena Hari Malaysia

Filem Terbang akan ditayangkan di seluruh negara bermula 17 Sept.

PETALING JAYA: Astro Shaw melancarkan treler dan poster rasmi filem Terbang, sebuah karya diinspirasikan daripada perjalanan sebenar legenda rali negara, Karamjit Singh, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 17 Sept.

Filem arahan Chiu Keng Guan, pengarah di sebalik kejayaan OlaBola dan The Journey, mengangkat kisah seorang anak Malaysia yang berani mencabar batas demi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata pemilihan tarikh tayangan itu bersempena sambutan Hari Malaysia bagi meraikan semangat perpaduan, kebanggaan dan identiti rakyat Malaysia.

Katanya, menerusi tema ‘Kita Terbang Sama-sama’, pelbagai aktiviti akan dianjurkan bersama rakan strategik termasuk pertandingan, kolaborasi radio, aktiviti lapangan dan kandungan digital bagi mendekatkan penonton dengan dunia Terbang.

“Harapan kami agar Terbang menjadi lebih daripada sekadar sebuah filem dan menjadi pengalaman bersama yang menyatukan rakyat Malaysia serta mencetuskan rasa bangga terhadap kisah yang lahir dari negara kita sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan, berkata kerjasama bersama Astro Shaw akan membawa pelbagai aktiviti yang mencerminkan semangat, keberanian dan kecekalan, sekali gus membangkitkan keterujaan menjelang tayangan filem itu.

Barisan pelakon yang membintangi filem Terbang.

Sementara itu, Ketua Pemasaran U Mobile, Bernand Lee, berkata kolaborasi syarikat berkeaan memberi peluang kepada penonton menyaksikan kandungan eksklusif The Making Of yang memaparkan penggunaan teknologi generasi baharu dalam pembikinan filem.

Menjelang tayangan, Astro Shaw turut merancang pelbagai inisiatif termasuk cabaran rali bersama Sting, kembara EV, pertandingan mereka bentuk kereta rali, penampilan di ART of Speed, koleksi eksklusif, pakej tayangan korporat dan siri jelajah bersama barisan pelakon di beberapa negeri.

Diterbitkan Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures dan Aventure Space serta produksi Woohoo Pictures, Terbang turut mendapat sokongan beberapa rakan strategik termasuk Sting, U Mobile, Proton, Petronas, EON Berhad dan Malaysia Aviation Group (MAG).

Terbang juga ditayangkan di pawagam dalam format 4DX yang menawarkan pengalaman sinematik menyeluruh melalui kerusi bergerak dan kesan persekitaran seperti angin, air dan bau.

Author: admin