PAS seru Melayu bersatu bukan bermakna benci kaum lain

Penyokong PAS yang hadir di ceramah di PRN Negeri Sembilan semalam. Parti itu jalin persefahaman untuk tidak bertembung dengan Barisan Nasional pada PRN itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seruan PAS supaya orang Melayu bersatu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai galakan untuk membenci kaum lain, kata ketua penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari.

Dalam mesej di Facebook kepada pengundi menjelang PRN Negeri Sembilan esok, Ahmad Fadhli berkata PAS kekal komited untuk memupuk perpaduan serta menghormati semua kaum dan agama di Malaysia.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa PAS sebuah parti ekstremis, sambil menegaskan bahawa perjuangan parti itu untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam bukan bererti hak kaum lain diketepikan.

“PAS mengajak semua orang Melayu bersatu padu bukan bermaksud ia mesej supaya membenci kaum lain. Itu bukanlah ajaran Islam. PAS bukan parti yang membenci kaum Cina dan India.

“Hanya kerana PAS bercakap tentang Melayu, bukan bererti kaum lain diketepikan. Hanya kerana PAS bercakap tentang Islam, bukan bererti PAS parti yang ekstrem,” katanya.

Fadhli turut menyeru orang Cina dan India supaya tidak menilai PAS berdasarkan apa yang didengar dari pihak lain sebaliknya menilai PAS berdasarkan kenyataan dan tindakan pemimpinnya sendiri.

Beliau juga menyeru pengundi Melayu-Islam supaya menyokong agenda penyatuan umat Islam yang diperjuangkan oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kerjasama itu bertujuan mengembalikan kekuatan politik Melayu, yang disifatkannya sebagai asas kepada kestabilan politik negara.

Walaupun mengakui masih terdapat penyokong yang dibayangi sengketa politik lampau, Fadhli berkata usaha penyatuan ini memerlukan pengorbanan rasa demi kepentingan ummah.

Author: admin