
SEREMBAN: Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan ke-16.
Beliau berkata peringatan dizahirkan Istana Negeri Sembilan agar semua pihak mengelakkan daripada menyentuh isu berkenaan wajar dihormati, malah Barisan Nasional (BN) sendiri tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai bahan kempen.
“Kami berpegang bahawa institusi raja-raja mesti dipertahankan. Dalam konteks Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat juga harus dipertahankan dan kami tidak pernah menyentuh perkara itu, sebaliknya menghormati institusi berkenaan.
“Saya ingin mengingatkan mana-mana pihak yang menyentuh perkara itu, tak perlulah berbuat demikian. Ini merupakan satu ingatan yang baik daripada pihak istana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Himpunan Usahawan Negeri Sembilan.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah Wang dan Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki.
Terdahulu hari ini, Istana Negeri Sembilan menasihatkan parti-parti politik yang bertanding untuk tidak mengaitkan institusi diraja semasa berceramah dan berkempen pada PRN Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan menegaskan institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.
Dalam perkembangan sama, Zahid turut menafikan dakwaan wujud pertelagahan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menjadi punca persefahaman antara kedua-dua gabungan itu tidak dapat direalisasikan.
Beliau berkata tidak timbul sebarang pergaduhan atau perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak, sebaliknya hubungan berkenaan bergerak atas dasar kesefahaman.
