
KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya dijangka diteruskan pada Oktober ini selepas syor berkaitan perkara itu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata keputusan untuk mempersembahkan syor Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berhubung pindaan itu dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet.
“Insya-Allah, mesyuarat Majlis Raja-Raja dijangka berlangsung pada Oktober, yang juga merupakan bulan berlangsungnya sesi terakhir Parlimen bagi tahun ini. Selepas itu, kita berharap pindaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat diteruskan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Abdul Halim Suleiman mengenai perkembangan usaha mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya serta pencapaian pelaksanaan agenda reformasi kerajaan.
Azalina berkata keputusan itu turut merangkumi syor berkaitan cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Abdul Halim mengenai status agenda reformasi institusi kerajaan, Azalina berkata sebanyak 21 inisiatif reformasi utama telah dilaksanakan dari 2022 hingga 2025.
Beliau berkata kerajaan kini meneruskan beberapa inisiatif reformasi utama bagi tahun ini untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti institusi serta memperkasakan sistem semak dan imbang.
