
PETALING JAYA: Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan dua minggu lalu.
Sinar Harian melaporkan A Ravichandran, R Elan, M Jeyaraj, J Mosesdevritto, Ziyauddin dan Muhammad Afiq Safine membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Syahliza Warnoh.
Mereka didakwa bersama tujuh individu masih bebas menculik seorang lelaki 44 tahun, dengan niat meminta tebusan RM8 juta di sebuah restoran nasi kandar di Dataran Sunway pada 5.15 petang 16 Julai lalu.
Semuanya didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan polis menyelamatkan seorang lelaki dalam tempoh 24 jam selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan RM7 juta di Petaling Jaya pada 17 Julai lalu.
Mangsa diselamatkan menerusi operasi khas di sebuah kediaman di Shah Alam pada 1 pagi.
