PM arah tindakan tegas Rohingya ganggu ketenteraman awam

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Majlis Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelarian Rohingya yang didakwa mengganggu ketenteraman awam, termasuk berkumpul di kawasan bandar sehingga menjejaskan lalu lintas.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan mengambil tindakan terhadap pelarian yang melanggar undang-undang.

“Dia (pelarian Rohingya) berpangkalan di UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian), ganggu lalu lintas. Kita kena tegas. Negara ini ada peraturan, ada hukum. Dia tak boleh umpamanya memilih untuk ambil mana-mana kawasan bandar.

“Sebab itu saya telah arahkan imigresen, polis dan bandar raya ambil tindakan tegas. Yang tidak ada permit diheret ke imigresen. Yang ada itu kita kena bagi amaran, kalau tidak tindakan undang-undang akan diambil,” katanya ketika menghadiri Majlis Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Anwar berkata, walaupun kerajaan memahami hasrat pelarian mendapatkan perlindungan bawah UNHCR, mereka tetap perlu mematuhi undang-undang Malaysia.

“Saya faham dia cuba perlindungan di UNHCR…tetapi dia tak boleh. Ada peraturan dalam negara ini dan menimbulkan keresahan daripada penduduk tempatan,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak boleh membenarkan pelarian bertindak sehingga mengganggu keselamatan penduduk tempatan.

“Saya juga pesan kepada polis dan imigresen supaya berhati-hati. Tindakan itu supaya jaga wanita dan anak-anak, tetapi saya fikir kita harus ambil tindakan yang tegas. Tidak mengizinkan mereka mengambil alih mana-mana tempat dalam negeri ini sewenang-wenang tanpa hormat kepada undang-undang,’ katanya.

Sebelum ini, media melaporkan ratusan pelarian Rohingya berkumpul di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, selepas dipercayai tiba dari Pulau Pinang, susulan tindakan penduduk mengusir mereka dari penempatan yang didiami sebelum ini.

Kumpulan itu dilaporkan berhimpun bagi mendapatkan perlindungan dan penyelesaian berkaitan status mereka, namun kehadiran menyebabkan kesesakan lalu lintas serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Author: admin