
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka menguasai kerajaan Negeri Sembilan dengan memenangi antara 23 hingga 25 daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRN 1 Ogos ini, menurut bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.
Dalam unjuran terbaharunya, ahli DAP itu menjangkakan Pakatan Harapan (PH) hanya mampu memenangi antara 11 hingga 13 kerusi, dengan PKR berkemungkinan memperoleh satu kerusi manakala selebihnya dimenangi DAP.
Ong, yang kini profesor adjung di Universiti Taylor’s berkata kerjasama pilihan raya BN-PN memberi kelebihan kepada kedua-dua gabungan kerana dapat mengelakkan perpecahan undi Melayu yang sebelum ini membantu PH memenangi beberapa kerusi.
“Dengan kerjasama pilihan raya antara PN dan BN, sokongan pengundi Melayu terhadap kedua-dua gabungan berkemungkinan besar melebihi 70%.
“Ini membolehkan calon kedua-dua gabungan mengelakkan undi Melayu daripada berpecah,” katanya dalam analisis berkenaan.
Unjuran Ong dibuat berdasarkan anggaran peratusan keluar mengundi sebanyak 80% bagi pengundi Melayu, 65% bagi pengundi Cina, 60% bagi pengundi India dan 65% bagi pengundi kaum lain.
Pada PRN kali ini, PH bertanding secara bersendirian di semua 36 kerusi.
BN pula bertanding di 25 kerusi menerusi kerjasama pilihan raya dengan PN yang dipimpin PAS, yang bertanding di baki 11 kerusi tanpa pertembungan sesama mereka.
Bersatu, walaupun masih menjadi parti komponen PN, bertanding secara berasingan di 24 kerusi menggunakan logonya sendiri.
Ong turut menyenaraikan 10 kerusi sengit yang boleh menentukan keputusan akhir PRN, iaitu Chennah, Klawang, Serting, Jeram Padang, Temiang, Sikamat, Ampangan, Linggi, Sri Tanjung dan Repah.
Daripada jumlah itu, beliau menjangkakan BN menang di Jeram Padang dan Linggi, manakala PN berpotensi menguasai Klawang, Serting, Sikamat dan Ampangan.
Bagaimanapun, keputusan di Chennah yang menyaksikan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mempertahankan kerusi daripada calon BN Siow Kong Choon disifatkan terlalu sengit untuk diramalkan.
Ong berkata sentimen anti-DAP dan anti-PH dalam kalangan pengundi Melayu mungkin sukar diatasi Loke.
Katanya, perubahan sokongan pengundi Orang Asli pula mungkin mencukupi untuk memberikan kemenangan tipis kepada BN.
Mengenai Bersatu, Ong berkata parti itu mungkin menjadi ‘pengacau’ di beberapa kerusi dengan menarik undi daripada BN atau PH.
Namun, beliau berkata tidak banyak kerusi yang menyaksikan calon Bersatu mampu memberi kesan besar terhadap keputusan.
Sokongan PH merosot sejak 2018
Ong berkata sokongan terhadap PH di Negeri Sembilan merosot sejak 2018, apabila gabungan itu memperoleh 53% undi popular dan memenangi 20 kerusi ketika Bersatu masih menjadi sebahagian daripadanya.
Katanya, peratusan undi PH turun kepada 44.4% pada PRU 2022.
Berdasarkan keputusan itu, PH hanya mampu memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, berbanding 18 kerusi untuk BN dan satu kerusi untuk PN.
“PH hanya dapat mengekalkan penguasaan DUN menerusi perjanjian pembahagian kerusi pada PRN 2023, apabila PH memenangi 17 kerusi dan BN memperoleh 14 kerusi,” katanya.
