Mindef jangka terima laporan lengkap letupan bom tangan Kem Hobart 23 Julai

khaled nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata ada kemungkinan keterangan saksi baharu perlu diambil bagi mengukuhkan dapatan siasatan letupan bom tangan di Kem Hobart, Gurun pada bulan lalu.

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) dijangka menerima laporan lengkap insiden letupan bom tangan yang mengorbankan dua anggota tentera di Kem Hobart, Gurun pada 23 Julai ini.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata pihaknya menerima laporan daripada Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pada lsnin lalu, tetapi hasil semakan Markas Tentera Darat mendapati ada keperluan memanggil semula beberapa saksi.

“Ada juga kemungkinan mendapatkan keterangan saksi baharu bagi mengukuhkan dapatan siasatan.

“Sehubungan itu, adalah terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian sebelum siasatan diselesaikan sepenuhnya,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Isam Isa (BN-Tampin) berhubung punca letupan bom tangan semasa latihan Angkatan Tentera Malaysia baru-baru ini dan langkah segera Mindef memastikan SOP keselamatan latihan diperkasakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Pada 16 Jun lalu, dua anggota tentera maut akibat letupan bom tangan ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun.

Ia disusuli satu lagi insiden pada 29 Jun lalu, di mana dua anggota tentera cedera di kaki ketika menjalani latihan menembak di kem sama.

Khaled berkata, bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, pihaknya meningkatkan pemantauan latihan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan lapang sasar dan penggunaan kamera badan.

Beliau turut mencadangkan penggunaan Eco-Friendly Training Hand Grenade (EFTHG) yang menyerupai grenad sebenar bagi latihan kering untuk memberi pendedahan awal dan pengalaman kepada anggota sebelum menggunakan bom tangan hidup.

“Selain itu, Casting Policy bagi peluru dan bahan letupan untuk menetapkan jangka hayat penggunaan akan diwujudkan.

“Akan pastikan juga peluru dan bahan letupan yang telah mencapai tempoh tersebut menjalani pemeriksaan khas secara terperinci dan berkala bagi mengesahkan kebolehgunaannya.”

Katanya, setiap pasukan juga perlu menjalani penilaian kesihatan fizikal dan kesediaan mental semua pegawai serta anggota sebelum menyertai latihan, khusunya mereka yang mempunyai rekod kesihatan memerlukan pemantauan.

Author: admin