
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini membatalkan penukaran agama secara unilateral terhadap dua beradik perempuan kepada Islam oleh ibu mereka yang telah meninggal dunia.
Kedua-dua beradik itu – dikenal pasti sebagai X dan Y – telah ditukarkan agama oleh ibu mereka di dua lokasi berbeza di Pahang dan Selangor pada 2018, ketika masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun.
X kini berusia 17 tahun, manakala Y akan berusia 15 tahun tahun ini.
Pada ketika itu, ibu bapa mereka telah berpisah, manakala bapa kandung mereka yang dikenal pasti sebagai L telah meninggalkan negara ini untuk bekerja di tempat lain.
Bapa mereka kemudian mengetahui bahawa isterinya yang telah berpisah dengannya memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan dan memperoleh hak penjagaan terhadap kedua-dua anak perempuan mereka.
Selepas kematian ibu mereka pada 2023, L mendapat tahu anak-anak perempuannya telah ditukarkan agama kepada Islam.
Dia kemudian memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan penukaran agama tersebut, dengan menamakan kerajaan Pahang dan Selangor serta jabatan agama negeri masing-masing sebagai responden.
Hakim Mahkamah Tinggi S Narkunavathy membenarkan permohonan bapa itu, dengan menyatakan mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kes M Indira Gandhi, yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum agama seseorang anak boleh ditukar.
Keputusan 2018 itu kemudiannya disahkan dalam satu lagi semakan kehakiman yang difailkan seorang bapa melibatkan dua anaknya, selain kes membabitkan tiga anak Loh Siew Hong.
“Mahkamah ini terikat dengan duluan muktamad dalam kes Indira Gandhi, di mana Mahkamah Persekutuan telah menghapuskan sebarang kekaburan berhubung Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan (mengenai agama anak-anak) serta penggunaannya,” kata Narkunavathy.
“Tafsiran berasaskan tujuan terhadap perkataan ‘ibu bapa’ dalam peruntukan itu memerlukan persetujuan kedua-dua ibu dan bapa. Ini bukan sekadar pilihan bahasa, tetapi merupakan perlindungan perlembagaan yang bertujuan menjaga hak bersama kedua-dua ibu dan bapa dalam menentukan didikan agama anak mereka,” tambahnya.
Hakim turut menyatakan bahawa ketika ibu berkenaan mendaftarkan kedua-dua anaknya sebagai orang Islam, dia masih belum memperoleh hak penjagaan penuh terhadap mereka.
“Mahkamah ini mendapati bahawa dengan menukar agama anak-anak secara unilateral sebelum diberikan hak penjagaan sah, ibu tersebut telah bertindak dengan mengetepikan sepenuhnya hak bapa sebagai penjaga bersama pada ketika itu,” kata Narkunavathy.
Mahkamah turut membincangkan hujah kerajaan Selangor bahawa versi Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan merupakan teks yang berkuat kuasa.
Versi bahasa kebangsaan itu menyatakan bahawa sama ada bapa atau ibu boleh menentukan agama dan didikan seseorang anak.
Bagaimanapun, Narkunavathy berkata tiada notis warta rasmi pernah dikeluarkan kepada umum bagi memaklumkan bahawa versi Bahasa Melayu tersebut adalah teks yang berkuasa.
“Mahkamah ini mendapati majlis pelancaran yang diadakan pada 2003 hanyalah acara simbolik dan pentadbiran. Ia tidak boleh dianggap sebagai penetapan rasmi dari sudut perlembagaan.
“Surat daripada Seri Paduka Baginda (Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail) merupakan satu penyataan hasrat. Walaupun mempunyai kepentingan sejarah, ia tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan perlembagaan.
“Surat tersebut tidak boleh mengetepikan proses perundangan dan perlembagaan yang diperlukan untuk mengubah bahasa berkuasa bagi undang-undang tertinggi negara,” katanya.
Kedua-dua kerajaan negeri berkenaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
