
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, membidas tindakan Bestinet Sdn Bhd mengeluarkan surat tuntutan kepada seorang Ahli Parlimen kerana membangkitkan persoalan mengenai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), yang dibangunkan oleh syarikat tersebut.
Santiago menegaskan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, tidak patut berdepan tekanan undang-undang hanya kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk meneliti perkara berkepentingan umum.
Beliau menegaskan ini bukan tindakan undang-undang pertama oleh Bestinet pada tahun ini, setelah syarikat itu menyaman Bloomberg, Malaysiakini, dan The Edge atas dakwaan fitnah.
Dalam pada itu, Santiago menarik perhatian kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara yang membangkitkan pelbagai isu berkaitan FWCMS.
“Perlembagaan menjamin perlindungan kepada wakil rakyat di Parlimen. Adakah firma guaman tersebut tidak sedar akan perlindungan perlembagaan kita, atau adakah mereka sengaja memilih untuk menakut-nakutkan Lee dan Ahli Parlimen lain supaya tidak bersuara?
“Bolehkah Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, memberi respons bagi memastikan integriti Parlimen terpelihara?” menurut kenyataan.
Terdahulu hari ini, Lee memaklumkan bahawa Bestinet menyerahkan surat tuntutan kepadanya berhubung kenyataan mengenai FWCMS.
Bestinet mengendalikan FWCMS yang digunakan oleh kerajaan untuk mengurus sebahagian proses pengambilan pekerja, terutama pekerja dari Bangladesh.
Sepuluh Ahli Parlimen, termasuk Lee, sebelum ini membantah cadangan pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing baharu yang dikenali sebagai Turap (Universal Recruitment Advanced Platform), yang turut dibangunkan oleh Bestinet.
Sebelum ini, Santiago berkata Laporan Ketua Audit Negara 2022 mengenal pasti kelemahan dalam FWCMS, termasuk pendedahannya terhadap manipulasi dan jurang tadbir urus.
Beliau juga menekankan penemuan serius oleh PAC, seperti pengguna tidak sah yang meluluskan permohonan serta perolehan yang dibuat tanpa proses yang betul.
