
PETALING JAYA: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) fizikal dipenjara 14 bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuantan hari ini kerana memecah masuk sebuah rumah dan mencuri pelbagai barangan bulan lepas.
Susulan pengakuan bersalah oleh tertuduh, S Guna, 33, Majistret Ellyna Othman memerintahkannya dipenjara bermula dari tarikh tangkap, iaitu 3 Julai lepas, dan dipenjara sembilan bulan lagi jika gagal membayar denda, lapor Bernama.
Tertuduh, bersama seorang lelaki warga Myanmar Mohd Sharuf Nizam Mohd Hanif, 26, serta seorang lagi yang masih bebas didakwa memecah masuk sebuah rumah dan mencuri seutas rantai emas, seutas gelang tangan emas, tiga loket emas serta sebuah telefon bimbit milik seorang wanita berusia 27 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bukit Setongkol, Taman Muhibah, pada 9.58 pagi, 25 Jun lepas.
Tuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun bagi pencerobohan rumah dan dilanjutkan maksimum 14 tahun serta denda bagi kesalahan mencuri.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya B Deevagaran Naidu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Rahiza Zulkifli, yang mewakili tertuduh, merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan OKU fizikal.
Selain itu, katanya, anak guamnya juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM650 sebulan serta perlu menyara isteri dan tiga anak.
Dalam prosiding sama, Mohd Sharuf Nizam yang juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama.
Deevagaran mencadangkan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin, namun peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan alam sekitar dan sisa pepejal hanya berpendapatan RM1,400 sebulan serta menyara isteri dan seorang anak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan dua penjamin dan menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.
