KPN beri amaran terhadap salah guna identiti rasmi polis untuk tujuan komersial

khalid ismail
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya memandang serius sebarang penggunaan nama, lambang, imej pegawai polis atau identiti rasmi pasukan itu untuk tujuan komersial. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Penyalahgunaan identiti rasmi polis secara tidak sah atau bagi tujuan mengelirukan sehingga mewujudkan persepsi pasukan itu mengendors sesuatu produk atau perkhidmatan boleh disiasat serta dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata pihaknya memandang serius sebarang penggunaan nama, lambang, imej pegawai polis atau identiti rasmi pasukan itu oleh mana-mana individu, syarikat atau organisasi bagi tujuan promosi, pemasaran, pengiklanan atau aktiviti komersial tanpa kebenaran sewajarnya.

Beliau berkata identiti rasmi pasukan itu merupakan aset institusi yang perlu dipelihara dan tidak boleh dieksploitasi bagi memperoleh keuntungan atau mewujudkan persepsi mengelirukan.

“Kita menegaskan bahawa kehadiran mana-mana pegawai polis dalam sesuatu program tidak boleh ditafsirkan sebagai pengendorsan, sokongan atau pengiktirafan terhadap mana-mana produk, perkhidmatan, pelaburan atau aktiviti komersial.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat andaian bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan telah mendapat kelulusan atau sokongan rasmi polis hanya berdasarkan penglibatan warga polis dalam sesuatu program,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid berkata perkara itu boleh disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], tertakluk kepada fakta dan elemen kesalahan yang dapat dibuktikan.

“Kita kekal komited memelihara integriti, kredibiliti dan identiti rasmi pasukan serta memastikan setiap bentuk kerjasama dengan pihak luar dilaksanakan secara telus, profesional dan selaras dengan undang-undang demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan,” katanya.

Author: admin