
KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat keputusan sama ada untuk memindahkan Penjara Taiping ke kompleks baharu selepas kejadian rusuhan tahun lepas yang mengorbankan seorang banduan.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) meminta pencerahan sama ada Penjara Taiping akan dipindahkan ke kompleks baharu selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan fasiliti sedia ada sebagai tidak sesuai susulan inkuiri awam mengenai rusuhan pada 17 Jan 2025 yang mengakibatkan kematian banduan, Gan Chin Eng, 61.
Sebagai respons, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan untuk memindahkan atau menggantikan Penjara Taiping.
“Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara Malaysia sentiasa meneliti keperluan pembangunan, penaiktarafan atau penggantian fasiliti penjara berdasarkan pelbagai pertimbangan termasuk aspek keselamatan, keperluan operasi, kapasiti penempatan penghuni, keadaan fizikal bangunan serta implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Terdahulu dilaporkan Suhakam mengesyorkan agar kompleks penjara yang dibina pada 1879 dan diwartakan sebagai bangunan warisan itu dihentikan operasi sebagai pusat tahanan.
Suhakam sebaliknya mencadangkan agar ia ditukar menjadi muzium atau tapak warisan.
Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus berkata, status warisan penjara itu menyebabkan wujudnya cabaran birokrasi, kos penyelenggaraan yang tinggi dan batasan struktur yang menghalang kerja-kerja menaik taraf sanitasi, lantas menyumbang kepada kemerosotan teruk fasiliti tersebut.
Panel Suhakam yang mengendalikan inkuiri awam mengenai rusuhan itu mendapati keadaan fizikal penjara yang daif adalah antara faktor penyumbang kepada pencabulan hak asasi manusia dan keganasan, yang akhirnya membawa kepada kematian banduan tersebut.
Saifuddin berkata, kementeriannya juga telah mengambil maklum mengenai cadangan Suhakam, menambah bahawa Jabatan Penjara akan terus melaksanakan langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan banduan, serta kelancaran operasi Penjara Taiping.
Jumlah didakwa bawah Akta Hasutan berkurangan
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, bilangan individu yang didakwa di bawah Akta Hasutan sejak tiga tahun lalu adalah lebih rendah berbanding jumlah kertas siasatan yang dibuka berhubung kes hasutan.
Beliau berkata, 11 orang didakwa pada 2023 walaupun 127 kertas siasatan dibuka pada tahun tersebut, manakala 10 orang didakwa pada 2024 susulan 96 kertas siasatan.
Pada 2025, enam individu didakwa daripada 142 kertas siasatan yang dibuka. Setakat Mei tahun ini, enam individu didakwa daripada 55 kertas siasatan yang dibuka.
Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta statistik individu yang disiasat di bawah Akta Hasutan dari 2023 hingga kini, serta jumlah mereka yang telah didakwa.
