Jangan guna isu pembesar dalam PRN N Sembilan, Anwar beritahu parti

anwar ibrahim
Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, pertikaian yang berlaku dalam institusi diraja Negeri Sembilan pada masa ini tiada tempat dalam politik pilihan raya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua parti politik agar tidak mengheret institusi diraja Negeri Sembilan dalam kempen PRN pada 1 Ogos ini.

Berucap pada majlis pengumuman calon PH malam ini, Anwar berkata, pertikaian yang sedang berlaku tidak mempunyai tempat dalam politik pilihan raya.

Beliau turut menegaskan bahawa sistem perlembagaan sedia ada di Negeri Sembilan mesti dihormati.

“Saya tidak pernah menolak undang-undang Negeri Sembilan, (termasuk) kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat, dan Tunku Besar Tampin. Saya tidak mahu ada kekeliruan tentang itu,” katanya.

Presiden PKR itu menambah, PH telah bersetuju untuk tidak melibatkan Yang di-Pertuan Besar mahupun kelima-lima pembesar tersebut dalam kempen pilihan raya.

“Saya nak nasihatkan kawan-kawan saya dari parti-parti lain … Jangan gunakan isu ini, kerana isu ini tidak relevan dalam pilihan raya,” katanya.

“Bukan masalah saya bimbang atau takut, tapi saya rasa tugas kita mesti pertahankan sistem beraja dan perlembagaan negara. Kalau kita mula jadikan ini polemik politik, tidak akan ada kesudahan.

“Saya juga mahu ingatkan semua, ada undang-undang tadbir semua perkara ini. Jangan langgar prinsip-prinsip perlembagaan.”

Krisis diraja di Negeri Sembilan tercetus pada 19 April oleh bekas undang Luak Sungei Ujong Mubarak Dohak dan tiga undang yang lain yang mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilucutkan takhta sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun ketika itu menolak pengisytiharan tersebut, dengan menyatakan bahawa Mubarak sendiri telah pun dilucutkan jawatannya sebelum itu.

Krisis tersebut bertukar menjadi isu politik selepas kesemua 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin, berikutan cara beliau mengendalikan pertikaian tersebut.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun, memberi laluan kepada PRN diadakan. Penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.

Barisan Nasional (BN) dan PH, yang bersekutu pada peringkat persekutuan, dijangka bertembung di kesemua 36 kerusi.

Author: admin