Kes buli di Rawang, JPN Selangor beri jaminan tak lindungi pelaku

Tular satu video menunjukkan seorang pelajar berulang kali menyerang rakan sekolahnya, manakala pelajar lain hanya melihat dan merakam kejadian itu.

PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Selangor tidak akan berkompromi termasuk mengambil tindakan tegas susulan penularan kes buli membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Rawang.

Jabatan itu berkata, pihaknya memandang serius penyebaran video kejadian berkenaan dan akan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan atas ‘salah laku’ mereka.

“Insiden ini sedang berada dalam perhatian pihak polis dan kita memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

“Tiada siapa akan dilindungi. Sesiapa yang didapati bersalah akan diambil tindakan tegas, selaras dengan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan seorang pelajar berulang kali menyerang rakan sekolahnya, manakala pelajar lain hanya melihat malah merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit mereka.

Kejadian itu berlaku ketika pelaksanaan Akta Antibuli 2026 mula berkuat kuasa, yang menyediakan saluran untuk menyelesaikan aduan buli melibatkan golongan bawah umur.

Author: admin