Maszlee mahu guna hubungan pusat bantu rakyat Puteri Wangsa

Maszlee Malik menang kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 5,744 undi.

JOHOR BAHRU: Adun Puteri Wangsa Maszlee Malik dari Pakatan Harapan (PH) mengakui cabaran besar menjadi wakil rakyat pembangkang.

Namun bekas menteri pendidikan itu yakin dapat berkhidmat untuk penduduk DUN terbabit berdasarkan hubungan langsung dengan kerajaan persekutuan yang PH menjadi sebahagian pentadbir.

“Dengan kapasiti sebagai wakil rakyat yang bukan dari kerajaan di negeri ini, mungkin ada beberapa cabaran.

“Tetapi kelebihan yang saya ada ialah hubungan langsung dengan kerajaan pusat dan juga agensi-agensi kerajaan pusat.

“Saya akan lakukan yang sebaik mungkin untuk rakyat DUN Puteri Wangsa,” katanya ditemui selepas pengumuman keputusan PRN Johor bagi kerusi Puteri Wangsa.

Beliau diumum pemenang dengan 5,744 undi. Maszlee menerima 41,821 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Teow Chia Ling meraih 36,077 undi.

Turut bertanding calon Muda, Rashifa Aljunied yang memperoleh 5,887 undi, Nicholas Paul Vincent daripada Bersama (2,332 undi), dan calon bebas Wang Wee Siong (227 undi).

PRN Johor dimenangi BN yang menguasai 48 daripada 56 kerusi manakala PH menang lapan kerusi.

Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama), Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) gagal memenangi sebarang kerusi.

Author: admin