Dr Siti Hasmah genap 100 tahun, kekal di hati rakyat Malaysia

Siti Hasmah
Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 hari ini.

PETALING JAYA: Tidak ramai tokoh dalam sejarah Malaysia yang mampu menambat kasih sayang dan penghormatan setinggi dinikmati Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 hari ini, beliau bukan sekadar isteri perdana menteri paling lama berkhidmat, bahkan seorang doktor, ibu, perintis kesihatan awam, dan paling utama, individu yang memberi takrifan baru serta penanda aras peranan pasangan kepada perdana menteri.

Anak keenam daripada 10 adik-beradik, Siti Hasmah menjadi aspirasi wanita muda Malaysia — bermula dari zaman persekolahannya di Klang sehinggalah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Singapura.

Apabila bergraduasi pada 1955, Siti Hasmah menjadi antara doktor wanita Melayu pertama — pelopor ketika peluang untuk golongan wanita masih terhad pada zaman itu.

Usahanya dalam bidang kesihatan ibu dan anak mengubah kehidupan rakyat. Sebagai pegawai kesihatan Ibu dan anak bagi negeri Kedah, beliau menyumbang peningkatan mendadak kadar kelangsungan hidup bayi, di mana kadar kematian bayi menurun daripada 75 bagi setiap 1,000 kelahiran kepada hanya enam.

Namun, peranannya sebagai isteri kepada perdana menteri melonjakkan nama Siti Hasmah sehingga tersohor.

Apabila Dr Mahathir Mohamad menerajui kerajaan pada 1981, beliau melangkah dalam peranan yang belum ada duluan jelas, lalu menggunakannya untuk memperjuangkan kesihatan ibu, perancangan keluarga, celik huruf, pencegahan penyalahgunaan dadah, dan kesihatan mental.

Sifatnya yang mesra dan ramah membuatkan rakyat Malaysia melihatnya tokoh yang mudah didekati, prihatin, dan ikhlas. Beliau kelihatan selesa ketika berada dalam kalangan pemimpin dunia, mahupun bersama rakyat biasa.

Dalam kegiatan masyarakat sivil, Siti Hasmah pernah berkhidmat sebagai presiden Bakti (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri) dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia, pengerusi Persatuan Perancangan Keluarga Kedah, serta penaung pelbagai organisasi penjagaan kesihatan.

Dijemput oleh Wanita Pertama AS, Rosalynn Carter, untuk menyertai Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia, beliau membawa perspektif Malaysia dalam wacana global.

Kehidupan peribadinya amat cukup menyentuh hati rakyat Malaysia. Perkahwinannya bersama Mahathir dilihat sebagai rakan kongsi yang setara, dibina atas rasa hormat-menghormati dan nilai kebersamaan.

Sentiasa setia di sisi suaminya dalam setiap lembaran kerjaya, Siti Hasmah mengimbangi tugas awam dengan kehidupan berkeluarga dalam membesarkan tujuh anak.

Meskipun usia menjengah senja, Siti Hasmah terus memberi inspirasi. Pada 2019, selepas menjalani pembedahan membuang ketulan di payudara yang dikesan awal, beliau menyeru golongan wanita mengamalkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Memoirnya, ‘My Name is Hasmah’, dan buku terbaharunya, ‘Speaking of Mass Destruction’, menawarkan pandangan jujur mengenai kehidupan serta perkara yang meruntun hatinya.

Siti Hasmah sentiasa menggabungkan kemurniaannya dengan sifat kemanusiaan seorang doktor dan ibu.

Beliau mewakili nilai terbaik Malaysia: ketabahan, belas kasih, merendah diri, dan kemajuan.

Author: admin