
PETALING JAYA: Konflik di Asia Barat yang bermula kira-kira 100 hari lalu mungkin berlaku jauh dari Malaysia, tetapi kesannya turut dirasai di negara ini.
Dalam dunia saling berhubung, perang itu bukan hanya isu diplomasi atau keselamatan sebaliknya turut mengganggu laluan kapal, menaikkan harga minyak, menekan kos penghantaran, meningkatkan subsidi kerajaan dan akhirnya memberi kesan kepada harga barang harian.
“Apabila satu rantaian dalam sistem ini tertekan, kesannya boleh merebak ke seluruh ekonomi yang lebih luas,” kata Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Mohd Hassan Marican dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Hassan turut menekankan keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan ketika berdepan kejutan luaran adalah hasil intervensi awal tegas, penyelarasan dasar berkesan serta usaha berterusan kerajaan merentasi kementerian dan agensi untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat.
Bagi rakyat biasa, persoalannya mudah: apa kaitan perang ribuan kilometer dari sini dengan harga petrol, makanan, tambang, ubat dan barang dapur?
Berikut lima perkara penting perlu difahami selepas 100 hari konflik itu.
1. Selat Hormuz yang kecil tetapi sangat penting kepada dunia
Laluan perairan sempit ini terletak di antara Teluk Parsi dan Laut Arab, berhampiran Iran dan Oman. Setiap hari, kapal tangki membawa minyak mentah, produk petroleum dan gas asli melalui laluan ini sebelum dihantar ke pasaran dunia, termasuk Asia.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, kira-kira satu perlima aliran petroleum dunia melalui Selat Hormuz. Ini menjadikannya antara laluan tenaga paling penting di dunia.
Dianggarkan hampir 40 peratus daripada keseluruhan import minyak mentah Malaysia juga dibawa menggunakan kapal tangki merentasi selat ini.
Jika laluan ini terganggu akibat perang, serangan, sekatan atau ancaman keselamatan, kapal mungkin mengambil masa lebih lama untuk bergerak, membayar kos insurans lebih tinggi atau dalam keadaan paling buruk, tidak dapat melalui laluan itu langsung.
Apabila bekalan minyak terganggu, harga boleh naik walaupun gangguan belum benar-benar berlaku, kerana pelabur dan pembeli minyak sudah mula menjangka kemungkinan bekalan terputus.
Dalam bahasa mudah: Selat Hormuz mungkin jauh, tetapi ia boleh mempengaruhi harga tenaga dan memberi kesan kepada kehidupan harian kita dalam pelbagai cara.
2. Bukan isu harga petrol semata-mata
Apabila bercakap tentang perang dan minyak, perkara pertama yang terlintas biasanya harga bahan api. Itu betul, tetapi kesannya jauh lebih luas.
Minyak bukan sekadar untuk isi tangki kenderaan persendirian tetap turut digunakan dalam pengangkutan, penghantaran barang, penerbangan, perkapalan, pembuatan plastik, ubat-ubatan, bahan kimia, pembungkusan dan banyak proses industri lain.
Sebab itu apabila harga minyak dunia melonjak akibat perang, kerajaan juga menanggung beban lebih besar untuk memastikan rakyat tidak menerima kejutan harga secara mendadak di pam minyak.
Sebelum ketegangan di Asia Barat bermula, subsidi bulanan kerajaan bagi RON95 dan diesel sekitar RM700 juta pada Januari. Namun selepas harga minyak mentah meningkat, jumlah itu melonjak kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan pernah memuncak sekitar RM7.5 bilion pada April.
Walaupun harga minyak dunia kemudian menyederhana, tanggungan subsidi kerajaan masih tinggi yang diunjur sekitar RM3.5 bilion sebulan. Daripada jumlah itu, kira-kira RM2 bilion adalah untuk subsidi RON95, manakala RM1.5 bilion lagi untuk diesel.
Dalam bahasa mudah, setiap kali harga minyak dunia naik tetapi harga bersubsidi dikekalkan, perbezaan kos itu tidak hilang. Ia ditanggung kerajaan bagi memastikan harga bahan api kekal stabil dan tidak membebankan rakyat.
Ini bermakna perang bukan hanya memberi kesan kepada harga bahan api tetapi memberi tekanan kepada kewangan negara.
Jika kerajaan perlu menanggung lebih banyak dana untuk subsidi bahan api, ruang fiskal untuk perkara lain seperti bantuan tunai, pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam atau projek pembangunan boleh menjadi lebih terhad.
Sebab itu krisis bahan api bukan sekadar soal harga di pam tetapi bagaimana kerajaan mengurus wang ketika dunia tidak menentu.
3. Makanan dan barang dapur juga terkesan
Ramai mungkin bertanya: “Apa kaitan perang dengan harga ayam, roti, minyak masak atau sayur?”
Jawapannya terletak pada rantaian bekalan.
Makanan tidak muncul terus di rak pasar raya. Ia melalui proses panjang: ladang, baja, makanan ternakan, kilang, pembungkusan, lori, gudang dan kedai.
Baja, makanan ternakan dan bahan mentah tertentu bergantung kepada perdagangan global. Sesetengahnya menggunakan tenaga yang tinggi untuk dihasilkan. Ada pula perlu diimport atau dihantar melalui laluan laut yang terdedah kepada gangguan.
Jika harga tenaga naik, kos baja juga boleh meningkat kerana pengeluaran baja banyak bergantung kepada produk petroleum. Jika kos penghantaran naik, barang import menjadi lebih mahal. Jika kapal perlu mengelak kawasan berisiko, masa perjalanan lebih panjang dan kos logistik bertambah.
Akhirnya, peniaga kecil, pengilang makanan dan pengguna biasa boleh sama-sama menerima kesannya.
Contohnya, sebuah kedai makan mungkin tidak menaikkan harga serta-merta. Tetapi jika kos bahan mentah, gas memasak, kos penghantaran dan pembungkusan meningkat serentak, peniaga akan terpaksa membuat pilihan: kurangkan margin, ubah saiz hidangan atau naikkan harga.
4. Malaysia ada penampan, tetapi bukan kebal
Malaysia tidak berada di zon perang dan itu satu kelebihan besar.
Negara juga mempunyai sumber tenaga sendiri, termasuk minyak dan gas, selain mekanisme kerajaan seperti subsidi bersasar, bantuan tunai bersasar, pemantauan harga dan kawalan bekalan barang tertentu.
Langkah-langkah ini telah dilaksanakan sejak awal, sebelum perang di Asia Barat dan sedikit sebanyak menjadi penampan kepada rakyat, sebab itu kesannya tidak dirasai secara mendadak dan kestabilan masih dapat dikekalkan.
Namun itu tidak bermaksud Malaysia kebal.
Harga minyak global masih boleh mempengaruhi kos pengangkutan dan sentimen pasaran. Jika permintaan global menurun, eksport dan aktiviti perniagaan tempatan turut terkesan.
Dalam keadaan konflik berpanjangan, kerajaan juga perlu mengimbangi beberapa keutamaan serentak: melindungi pengguna daripada lonjakan harga, memastikan bekalan barangan dan tenaga mencukupi, dan pada masa sama memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.
Maksudnya, kesan kepada Malaysia tidak semestinya datang dalam satu bentuk besar dan dramatik. Ia boleh datang secara perlahan: kos perniagaan meningkat, pengguna lebih berhati-hati berbelanja, peniaga menangguhkan pelaburan, dan isi rumah mula mengetatkan bajet.
5. Apa rakyat boleh buat?
Rakyat biasa tidak boleh mengawal harga minyak dunia atau menghentikan perang. Namun, tindakan harian tetap boleh membantu memastikan bekalan kekal teratur.
Pertama, elakkan pembelian panik. Apabila terlalu ramai membeli melebihi keperluan, bekalan boleh terganggu walaupun stok asalnya mencukupi.
Kedua, beli mengikut keperluan biasa. Tindakan ini membantu memastikan barang keperluan kekal tersedia untuk semua.
Ketiga, gunakan bahan api dan barang keperluan secara berhemah. Perjalanan boleh dirancang dengan lebih baik, pembaziran makanan boleh dikurangkan, dan perbelanjaan boleh disusun mengikut keutamaan.
Keempat, banding harga sebelum membeli. Pasar raya, kedai runcit dan platform e-dagang mungkin menawarkan harga berbeza untuk barang sama. Bezanya kecil, tetapi boleh menjadi memberi penjimatan yang besar setiap bulan.
Kelima, semak maklumat sebelum berkongsi. Dalam keadaan tidak menentu, berita palsu atau mesej yang tidak disahkan boleh mencetuskan panik tanpa sebab.
Perang mungkin jauh, tetapi minyak, makanan, ubat, barang dapur dan kos penghantaran bergerak melalui rangkaian dunia yang sama.
Selepas lebih 100 hari konflik, pengajaran paling jelas ialah dalam dunia saling bergantung, kestabilan bukan lagi isu kerajaan dan pasaran semata-mata. Ia juga isu dapur, dompet dan kehidupan harian rakyat.
