Afrika Selatan, AS antara sumber perkukuh bekalan tenaga

AMIR HAMZAH AZIZAN
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan bekalan tenaga pada satu sumber. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan menggunakan pendekatan mempelbagaikan sumber bekalan tenaga bagi memastikan bekalan tenaga negara mencukupi, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, kerajaan melalui Petronas dan syarikat-syarikat minyak terus komited mencari sumber bekalan baharu, termasuk dari Afrika Selatan dan Amerika Syarikat (AS), bagi memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi negara tidak terjejas.

“Ini (sekali gus) bermaksud kita ada hubungan baharu, beberapa bekalan yang masuk mungkin ia datang dari tempat yang lebih jauh dah harganya lebih tinggi sedikit, tetapi yang pentingnya bekalan tenaga dalam negara mencukupi.

“Bagi arang batu, Malaysia terus bergantung sebahagian besarnya kepada Indonesia, selain mengembangkan sumber bekalannya ke negara lain, termasuk AS dan Australia.

“(Ini) sekali gus mengurangkan kebergantungan pada satu sumber dan mengukuhkan keselamatan bekalan secara keseluruhan,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang.

Beliau berkata, langkah itu merupakan langkah pengurusan risiko yang baik apabila sebarang gangguan di sesuatu negara pembekal, Malaysia masih mempunyai pilihan meningkatkan bekalan daripada sumber lain.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan, memaklumkan Program Mikro Kredit Turun Padang merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan Madani untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro menerusi pendekatan libat urus secara langsung bersama penjaja dan peniaga kecil di pasar tani seluruh negara.

Program itu menyediakan platform bagi mendekati usahawan mikro di peringkat komuniti, memahami cabaran dihadapi serta menyalurkan maklumat mengenai pelbagai kemudahan pembiayaan, bantuan perniagaan, dan program pembangunan kapasiti yang disediakan kerajaan dan agensi berkaitan.

“(Ia juga bagi) mampu membantu mereka meningkatkan pendapatan, mengembangkan operasi perniagaan serta membina perniagaan yang lebih mampan dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

Agensi pelaksana yang terlibat dalam program itu adalah Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tekun Nasional, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dan Mara.

Author: admin