
PETALING JAYA: Bekas pembantu khas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang disiasat rasuah berkait projek mesra rakyat dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Berita Harian memetik sumber sebagai berkata, individu itu akan didakwa 8.30 pagi esok.
Sebelum ini, dilaporkan dua individu termasuk bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh itu direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sekitar RM500,000, sebagai balasan membantu meluluskan dana projek.
Mereka disyaki melakukan perbuatan itu pada 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana projek mesra rakyat bernilai hampir RM1.5 juta, membabitkan pembekalan ‘interactive smart board’ kepada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.
Terdahulu, kedua-dua lelaki lingkungan 30-an ditahan kira-kira 9.30 malam pada 5 Mac tahun lalu ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
