
PETALING JAYA: PAS dicabar membuktikan kesediaannya mentadbir Selangor dengan membentangkan dasar dan belanjawan alternatif, bukan sekadar bercakap mengenai usaha menumbangkan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Ketua Pemuda PKR Selangor, Mohammad Shahrul Adnan, berkata PAS perlu menjelaskan tawarannya kepada rakyat jika benar-benar mahu mengambil alih pentadbiran negeri itu.
Katanya, hasrat Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Sanusi Nor, menjadikan Selangor sebagai ‘titik mula’ menumbangkan PH perlu disusuli pelan pentadbiran yang jelas.
“Menjadi kerajaan bukan sekadar mempunyai jentera pilihan raya atau memenuhi pentas ceramah, tetapi memerlukan kemampuan mengurus hasil negeri, pembangunan, pelaburan, perumahan, pengangkutan, infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat,” katanya kepada FMT.
Sabtu lalu, ketika berucap pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor, Sanusi berkata parti itu mahu menjadikan Selangor sebagai ‘titik mula’ untuk menumbangkan PH dan seterusnya kerajaan di peringkat persekutuan pada PRU16.
Shahrul berkata, PAS yang mempunyai wakil dalam DUN Selangor boleh menggunakan kedudukannya sebagai pembangkang untuk mengemukakan alternatif kepada dasar kerajaan negeri.
“Kalau belanjawan alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor,” katanya.
Beliau turut mencabar PAS membandingkan rekod pentadbiran negeri yang ditadbir parti itu dengan Selangor jika Sanusi mahu prestasi kerajaan negeri dibandingkan.
Katanya, langkah itu membolehkan rakyat membuat penilaian berdasarkan angka dan pencapaian, bukan sekadar dakwaan politik.
Shahrul berkata, Selangor kini melaksanakan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, peningkatan pendapatan rakyat dan tarikan pelaburan.
“Rakyat Selangor mahu tahu apa yang PAS mampu lakukan lebih baik, bukan sekadar mendengar siapa yang PAS mahu tumbangkan,” katanya.
Katanya, PAS juga perlu menjelaskan bagaimana parti itu mahu meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi, menyediakan pekerjaan bergaji tinggi serta menangani isu perumahan, banjir, pengangkutan dan kos sara hidup.
Menurutnya, Pemuda PKR Selangor tidak gentar dengan hasrat PAS dan PN, namun mahu persaingan politik negeri itu ditentukan berdasarkan dasar, prestasi dan penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Tidak ada tempat untuk politik perkauman di Selangor. Kita boleh bertarung mengenai dasar, ekonomi dan rekod pentadbiran.
“Kalau PAS mahu menawan Selangor, lawanlah dengan idea, dasar dan prestasi. Jangan cuba menawan Selangor dengan sentimen yang memecah-belahkan rakyat,” katanya.
