
HANG TUAH JAYA: Hampir 250 ahli PKR Melaka berpakaian serba hitam berarak di luar lokasi kongres nasional parti itu bagi menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyegerakan siasatan terhadap Tabung Haji (TH).
Kumpulan berkenaan membawa kain rentang tertera perkataan ‘Pertahankan Tabung Haji’ dan ‘Keadilan’, sambil berulang kali melaungkan ‘siasat’ di luar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.
Seorang peserta yang mahu dikenali sebagai Nasir, berkata mereka yang terlibat merupakan ahli PKR Melaka dan tiada pimpinan parti menyertai perarakan itu.
“Kami meminta perdana menteri segerakan siasatan ke atas TH.
“Kami telah bertemu beliau dan beliau berjanji menyiasat perkara itu secara menyeluruh,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi peserta, Ashiq, berkata isu TH sangat dekat dengan hati orang Melayu dan umat Islam, serta perlu disiasat sewajarnya.
“Tindakan mesti diambil kerana ini duit ibu bapa kami, dan ia juga duit untuk ibadah haji anak-anak saya.”
Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dinyahklasifikasikan bulan lalu dan mengesyorkan penambahbaikan secara menyeluruh, termasuk pengawasan lebih ketat, audit forensik ke atas pelaburan terpilih, dan menghadkan campur tangan politik dalam institusi tersebut.
Laporan itu turut membawa kepada siasatan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta beberapa tangkapan berprofil tinggi.
