
PETALING JAYA: Tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menarik sokongan terhadap kerajaan Sabah bukan kerana kegagalan pentadbiran atau dasar pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah Arthur Sen berkata tindakan itu sebaliknya bertujuan membolehkan KDM membuat penjajaran politik baharu dengan meneroka kerjasama bersama Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
“Keputusan ini bukan menyatakan soal kegagalan dasar atau urus pentadbiran kerajaan perpaduan Sabah diterajui GRS.
“Ia hak KDM dan tambahan mereka bukan ahli komponen GRS,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga tidak melihat penarikan sokongan KDM akan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri memandangkan parti itu hanya mempunyai seorang Adun.
Arthur berkata kerajaan perpaduan Sabah ketika ini mempunyai sokongan 53 daripada 79 Adun, berbanding 40 yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah.
“Belum diketahui pendirian rasmi Adun tunggal dari KDM (Adun Paginatan Rusdin Riman), namun ada khabar angin beliau akan terus menyokong kerajaan perpaduan.
“Kekal atau tidak kerajaan perpaduan GRS kekal stabil dan boleh fokus kepada pembangunan serta kesejahteraan hidup rakyat Sabah,” katanya.
Semalam, Pemangku Presien KDM Priscilla Peter mengumumkan penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan GRS.
Keputusan itu dibuat ketika parti berkenaan dikatakan sedang berbincang untuk kerjasama dengan Warisan serta Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada PRU16.
