
PUTRAJAYA: DAP wajar kekal dalam kerajaan perpaduan buat masa ini, tetapi perlu menilai semula hubungannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata perwakilan Selangor Sangeet Kaur Deo.
Berucap pada kongres khas DAP, Sangeet berkata parti itu perlu terus berada dalam kerajaan persekutuan kerana memerlukan masa untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap parti.
“Kita boleh menunjukkan pelbagai reformasi yang dilaksanakan menteri kita, dan memang banyak. Di peringkat kementerian, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan adalah kukuh.
“Namun, kita tidak boleh mengetepikan masalah lebih besar yang sedang dihadapi parti.
“Dalam terlalu banyak isu, kita memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu menggugat kestabilan kerajaan,” katanya.
Sangeet turut berkata DAP tidak boleh menafikan wujud beberapa kontroversi berkaitan rasuah yang semakin menjadi perhatian sepanjang parti itu berada dalam kerajaan.
“Kita mendapat mandat untuk memerintah atas janji mahu membanteras rasuah.
“Adakah kita sudah melakukannya? Belum. (Presiden Umno) Zahid Hamidi memperoleh DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) bagi 47 pertuduhan terhadapnya. Kita juga berdepan kontroversi melibatkan institusi negara, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”
Sangeet berkata Umno juga secara terbuka menyerang DAP walaupun kedua-dua parti berada dalam gabungan kerajaan persekutuan yang sama.
“Adakah mereka benar-benar rakan gabungan yang boleh kita bekerjasama? Saya menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat supaya menilai semula secara serius hubungan kita dengan Anwar.
“Daripada menyatukan rakan-rakan gabungan, apa yang beliau lakukan? Beliau memecahbelahkan kita dan melaga-lagakan satu pihak dengan pihak lain. Beliau memperkukuh Umno. Perkara ini tidak boleh kita abaikan,” dakwanya.
DAP mengadakan kongres khas sehari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dengan lebih 4,000 perwakilan dijadual mengundi sama ada parti itu perlu kekal dalam kerajaan perpaduan persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen.
