RCI Tabung Haji: SPRM sambung rakam keterangan bekas CFO

logo sprm macc
Rakaman percakapan yang dijalankan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya itu berlangsung lebih enam jam.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung rakaman keterangan seorang bekas ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai kira-kira RM370 juta.

Rakaman percakapan yang dijalankan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya itu berlangsung lebih enam jam.

Bagaimanapun, hanya bekas CFO berkenaan hadir memberikan keterangan, manakala bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata bekas pegawai kanan itu tiba di ibu pejabat suruhanjaya kira-kira 10.30 pagi.

“Hari ini merupakan hari kedua rakaman percakapan individu ini diambil selepas dibebaskan semalam.

“Rakaman percakapan diteruskan bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan susulan penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dan selesai kira-kira 5 petang,” katanya.

Menurut Abd Halim, proses merakam percakapan akan disambung lagi esok bermula jam 10 pagi bagi melengkapkan siasatan.

Semalam, SPRM menahan seorang bekas CEO dan bekas CFO syarikat milik badan berkanun susulan siasatan terhadap laporan RCI Tabung Haji.

Mereka yang masing-masing berusia 68 dan 60 tahun itu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Author: admin