RCI Tabung Haji: 3 lagi direman kerana disyaki subahat seleweng RM450,000

macc sprm
Menurut sumber tiga lelaki berusia lingkungan 50-an yang ditahan di ibu pejabat SPRM petang semalam, direman sehingga 9 Ogos ini.

PETALING JAYA: Tiga lelaki direman lima hari kerana disyaki bersubahat menyeleweng caj notis penalti kira-kira RM450,000 susulan siasatan khas terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Mereka ialah timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang juga anak syarikat sebuah badan berkanun.

Perintah reman sehingga 9 Ogos itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sumber berkata, tiga lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan 6 petang semalam di ibu pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2017 hingga 2019,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM menubuhkan pasukan khas untuk menyemak dan meneliti penemuan laporan RCI Tabung Haji setebal 252 muka surat berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi dana itu dari 2014 hingga 2020 yang dinyahklasifikasikan serta dikeluarkan Rabu lalu.

Author: admin