PH perlu hadapi realiti politik kaum, perkukuh jentera, kata penganalisis

penyokong ph
Penganalisis berkata PH perlu tingkat kekuatan jentera supaya setanding dengan lawan.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu menyesuaikan strategi dengan realiti politik kaum yang masih mempengaruhi pilihan raya, sambil terus menangani isu rakyat serta meningkatkan kekuatan jentera, kata penganalisis.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, sentimen berasaskan kaum bukan perkara baharu dalam politik negara dan PH perlu memberi tumpuan kepada perkara lebih dekat dengan kehidupan pengundi untuk manfaat jangka panjang.

Katanya, ramai pengundi masih menilai keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah harian mereka berbanding retorik politik semata-mata.

“Pengundi kini lebih memberi perhatian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, kestabilan ekonomi dan keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah harian berbanding retorik politik,” katanya kepada FMT.

Zaharuddin berkata, PH juga perlu melakukan penilaian menyeluruh terhadap kepimpinan, kekuatan jentera dan naratif kempennya selepas keputusan PRN Negeri Sembilan.

Menurutnya, parti itu tidak boleh terlalu bergantung kepada penguasaan naratif di media sosial kerana kemenangan pilihan raya banyak ditentukan oleh kekuatan di peringkat akar umbi.

“Hakikatnya, politik identiti bukan fenomena baharu tetapi telah menjadi sebahagian daripada landskap politik Malaysia sejak berdekad lamanya,” katanya.

Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari mendakwa kempen PRN Negeri Sembilan memperlihatkan unsur perkauman luar biasa yang menjadi punca kekalahan gabungan itu.

Pada PRN itu, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi manakala sekutunya Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh, sekali gus memberikan kedua-dua gabungan majoriti dua pertiga dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi.

PH memenangi 11 kerusi dan turut menyaksikan Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook tumbang.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata, sentimen kaum sememangnya memainkan peranan dalam keputusan pilihan raya, namun tidak boleh dianggap sebagai satu-satunya faktor menentukan prestasi PH.

Menurutnya juga, PH khususnya PKR perlu memperkukuh kepimpinan dan jentera pilihan raya bagi memastikan gerak kerja kempen dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pada pandangan saya, kekuatan jentera PH masih belum setanding dengan BN, walaupun PH telah mentadbir Negeri Sembilan selama lapan tahun,” katanya.

Author: admin