
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan Zurich Takaful Malaysia Bhd berhak membatalkan satu polisi takaful keluarga yang didapati diperoleh menerusi penipuan yang disengajakan, walaupun ejen syarikat insurans itu sendiri gagal mematuhi prosedur asas penajajaminan.
Hakim Moses Susayan berkata, ejen berkenaan mengaku tidak pernah bertemu pemegang polisi, tidak menyaksikan borang cadangan ditandatangani, mahupun mengesahkan maklumat yang dikemukakan sebelum polisi dikeluarkan.
Bagaimanapun, hakim menegaskan kegagalan itu tidak menjadikan kontrak tersebut tidak sah memandangkan Zurich Takaful telah menerima cadangan itu, mengeluarkan sijil serta mengutip caruman RM3,000.
Beliau berkata, syarikat insurans tidak boleh menggunakan alasan ejennya cuai untuk melepaskan diri daripada liabiliti kontrak.
Bagaimanapun, Susayan mendapati polisi itu diperoleh melalui salah nyataan terancang dan disengajakan oleh penama, Yathavan Doraisamy, sekali gus membolehkan Zurich Takaful membatalkan kontrak mengikut Jadual 9 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Zurich Takaful memfailkan saman selepas menolak tuntutan susulan kematian Parameswaran Kannan dalam kemalangan basikal pada April 2018, kira-kira enam bulan selepas polisi itu dikeluarkan.
Syarikat insurans itu mendakwa borang cadangan terbabit mengandungi deklarasi palsu berhubung status perkahwinan, pekerjaan, pendapatan, alamat, tahap literasi, pengambilan alkohol dan hubungan si mati dengan Yathavan.
Yathavan menafikan dakwaan terbabit dan memfailkan tuntutan balas bagi menuntut pampasan polisi itu.
Dalam penghakiman setebal 39 muka surat, Susayan berkata, keterangan, termasuk satu lagi polisi takaful dengan hubungan keluarga direka-reka yang serupa, menunjukkan wujudnya skim penipuan dan bukannya kesilapan tanpa niat.
Beliau mendapati tidak masuk akal untuk Parameswaran, yang masih bergelar suami dan menyara isteri serta lima anak, akan mengetepikan keluarganya dan meletakkan nama saudara jauh sebagai penama untuk menerima pampasan takaful lebih RM800,000.
Hakim merumuskan borang cadangan itu berkemungkinan besar diisi oleh Yathavan bagi memastikan manfaat polisi dibayar kepadanya.
Walaupun Zurich Takaful turut mempersoalkan insiden yang membawa kepada kematian Parameswaran, Susayan tidak mendapati Yathavan melakukan sebarang kesalahan jenayah, sambil mengambil kira bahawa polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kemalangan maut.
Beliau berkata, tuntutan tersebut gagal berikutan penipuan yang dilakukan ketika polisi itu diperoleh.
Mahkamah turut menolak dakwaan bekas peguam Zurich Takaful bersubahat dengan balu Parameswaran untuk memalsukan keterangan, menyatakan tiada keterangan menyokong tuduhan itu walaupun timbul tanda tanya mengenai bagaimana dokumen polisi sulit boleh jatuh ke tangannya.
Semasa membenarkan tuntutan Zurich Takaful, Susayan mengisytiharkan pembatalan polisi itu adalah sah, menolak tuntutan balas Yathavan dan mengarahkan syarikat insurans memulangkan semula caruman RM3,000 kepada isteri sah Parameswaran.
Hakim tidak mengeluarkan sebarang perintah kos, memandangkan kes itu tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah kerana ejen insurans itu sendiri membelakangkan perlindungan asas penajajaminan semata-mata demi komisen segera.
Peguam Raam Kumar mewakili Zurich Takaful, manakala Vigneswaran Raju bertindak bagi pihak Yathavan.
