
GEORGE TOWN: Pakatan Harapan akan terus mentadbir Pulau Pinang seperti biasa di sebalik kejayaan kempen perpaduan Melayu-Islam Barisan Nasional-Perikatan Nasional di Negeri Sembilan, kata Chow Kon Yeow.
Pengerusi PH Pulau Pinang itu berkata mereka akan fokus kepada pembangunan, kebajikan dan khidmat kepada semua kaum berbanding pendekatan berasaskan kaum yang diamalkan pihak saingan mereka.
“Kami sentiasa menjadi kerajaan inklusif yang menyediakan bantuan kebajikan dan membangunkan negeri untuk seluruh rakyat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Komtar.
Beliau menyeru pengundi mempertimbangkan prestasi kerajaan Pulau Pinang apabila memutuskan sama ada untuk memberi mandat sekali lagi kepada PH pada PRN atau PRU seterusnya.
Chow berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadli Shaari bahawa kerjasama antara BN dan PN mampu menjatuhkan kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP.
BN dan PN memenangi 25 daripada 36 kerusi pada PRN Negeri Sembilan hari Sabtu lalu, dengan BN merangkul 18 kerusi dan PN tujuh. PH memenangi baki 11 kerusi.
Chow berkata BN and PN kelihatan melihat kerjasama mereka di Negeri Sembilan sebagai model yang boleh ditiru di tempat lain, terutama di kawasan di mana komposisi etnik boleh memihak kepada mereka.
“Mereka boleh menggunakan apa jua pendekatan yang mereka mahu, termasuk di Pulau Pinang. Pada akhirnya, terpulang kepada pengundi untuk membuat keputusan,” katanya.
Chow turut berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan ketika ditanya sama ada PH kehilangan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu dan Cina, memandangkan BN menang di beberapa kerusi majoriti Cina pada pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan.
“Jika anda teliti keputusan di kerusi yang disandang oleh DAP, tahap sokongan kekal memuaskan,” katanya, dan menambah beliau tidak boleh mengulas mengenai prestasi parti komponen PH yang lain.
Bagaimanapun, beliau mengakui parti komponen PH lain tidak menunjukkan prestasi yang baik di Negeri Sembilan, dan ia akan dibincangkan.
PH Pulau Pinang akan bermesyuarat pada 8 Ogos untuk menilai persediaan pilihan raya dan kedudukan Umno dalam kerajaan negeri.
Ditanya sama ada DUN Pulau Pinang akan menamatkan penggal penuh jika PRU diadakan dalam masa terdekat, Chow berkata politik sentiasa berubah.
“Kepimpinan PH Pulau Pinang dan nasional akan mempertimbangkan semua kemungkinan,” katanya.
