
KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan mengisytiharkan esok sebagai cuti peristiwa bagi menghargai rakyat Negeri Sembilan serta semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan proses PRN Negeri Sembilan semalam.
Menteri Besar Ismail Lasim, berkata perkara itu telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan kesyukuran dan merakamkan (menjunjung) kasih kepada Tuanku Muhriz atas perkenan baginda melantik saya sebagai menteri besar Negeri Sembilan.
“Sehubungan dengan itu, Tuanku telah berkenan untuk saya mengumumkan cuti tersebut. Ramai yang masih letih dan sebagainya, jadi esok kita berpeluang untuk bercuti,” katanya pada sidang media pertama selepas selesai upacara mengangkat sumpah jawatan.
Terdahulu, Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti, selepas mendapat perkenan baginda menerajui pentadbiran baharu kerajaan negeri.
Keputusan PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 18 DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat tujuh kerusi, sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
