
PETALING JAYA: Tiga daripada empat undang yang mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir disingkirkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sudah tidak lagi memegang jawatan mereka pada ketika itu, kata Dewan Keadilan dan Undang (DKU) negeri.
DKU berkata, bekas undang Jelebu Maarof Mat Rashad dianggap telah dipecat sejak 31 Mei 2023 akibat kesalahan adat.
Menurutnya, perkara ini disahkan dalam mesyuarat khas DKU semalam yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz dan disertai oleh wakil-wakil Ibu Soko Waris Berundang.
“DKU telah menguruskan aduan daripada Luak Jelebu dengan penuh adil, dan dengan ini menasihatkan (semua pihak) untuk menerima kesepakatan pendirian yang telah diambil oleh Waris, Anak Buah dan Ibu Soko Waris Berundang dari ketiga-tiga Perut Kemin Teriang, Kemin Beringin Dan Kemin Bemban untuk memecat Maarof selaku penyandang pusaka Undang Luak Jelebu yang ke-16 berkuat kuasa dari 31 Mei 2023.
“Maka dengan itu jawatan undang Luak Jelebu adalah dengan sendirinya kosong dan apa-apa tindakan yang dibuat oleh Maarof selepas daripada tarikh (itu) hendaklah dianggap tidak sah.
“Kerajaan negeri adalah diarahkan untuk mengambil tindakan-tindakan sewajarnya melaksanakan pertimbangan-pertimbangan DKU seperti di atas,” katanya dalam kenyataan.
DKU juga menegaskan bahawa bekas undang Sungai Ujong Mubarak Dohak sudah dipecat pada 17 April lepas, manakala Abdul Rahim Yasin tidak pernah dilantik secara rasmi sebagai undang Rembau.
Katanya, pelantikan Abdul Rahim yang dilaporkan berlaku pada Ogos 2024 tidak mematuhi adat yang sewajarnya dan tidak pernah dimuktamadkan melalui istiadat pemasyhuran.
“Oleh itu, (Maarof, Mubarak dan Rahim) tidak mempunyai sebarang kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan apa-apa kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Negeri Sembilan.”
Perkara 10 memperincikan berkaitan turun takhta atau pengunduran sementara Yang di-Pertuan Besar atas permintaan para undang.
Pada 19 April, Mubarak, Rahim, Maarof dan undang Johol Muhammed Abdullah mengumumkan ‘penyingkiran’ Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
DKU mengulangi bahawa pengisytiharan ini adalah tidak berperlembagaan dan terbatal memandangkan Mubarak, Rahim dan Maarof tidak lagi memegang jawatan undang pada ketika itu.
Undang Rembau, Sungai Ujong baharu disahkan
DKU berkata, mesyuarat itu turut dihadiri oleh undang Sungai Ujong dan Rembau yang baharu, Faris Johari dan Hassan Ab Hamid, serta Tunku Besar Seri Menanti, sekali gus memenuhi korum yang diperlukan untuk bersidang.
Ia menegaskan bahawa pelantikan Faris dan Hassan pada 27 Jun adalah sah kerana mematuhi undang-undang adat Sungai Ujong dan Rembau masing-masing.
Katanya lagi, DKU telah dimaklumkan oleh Ibu Soko dan Anak-Anak Waris Sungai Ujong bahawa Shahbandar Sungai Ujong Badarudin Abdul Khalid telah dilucutkan jawatan, berkuat kuasa 30 Julai.
“Maka menurut Perkara XV(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, jawatan Shahbandar Sungei Ujong adalah dengan sendirinya kosong,” katanya.
“DKU mengambil maklum bahawa proses bagi menyempurnakan pelantikan Shahbandar yang baharu mengikut Adat Luak Sungei Ujong belum lagi selesai.”
Krisis diraja Negeri Sembilan pada masa ini masih melalui prosiding undang-undang di mahkamah.
